Serah Pada Polis Siasat Isu Berkaitan Etnik Rohingya

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta bertenang dan memberi peluang kepada pihak berkuasa menyiasat semua isu berkaitan pelarian Rohingya, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas pertanyaan media mengenai isu itu beliau berkata keadaan yang berlaku ketika ini terutama sentimen negatif terhadap etnik berkenaan agak menghairankan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini menghairankan pihak berkuasa terutamanya pihak polis kerana akhir-akhir ini banyak berita di media sosial yang dikeluarkan yang menimbulkan kemarahan terhadap mereka.

“Pihak polis sedang menyiasat perkara ini sebab ada juga yang menganggap sesetengah video dan rakaman audio itu (mengenai dakwaan dan tuntutan dibuat oleh etnik itu di negara ini) adalah palsu atau tidak benar.

“Tiada sesiapa yang boleh menentukan kesahihan video ini kecuali polis,” katanya pada sidang media harian pada Isnin.

Sebelum ini, tular beberapa klip rakaman video, audio dan berita di media sosial membabitkan pelarian Rohingya termasuk dakwaan mereka membuat tuntutan tertentu, sekali gus mencetuskan kemarahan segelintir rakyat negara ini.

“Jadi pihak polis sekarang menyiasat video, audio dan segala berita yang berkaitan dengan pelarian Rohingya ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kedatangan pelarian Rohingya ke negara ini bukan perkara yang baharu tetapi sebelum ini tidak timbul sebarang isu mengenai mereka.

“Tetapi akhir-akhir ini, sewaktu Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), isu ini menjadi besar. Sebelum ini tidak timbul isu ini kerana kedatangan pelarian Rohingya mendapat simpati daripada kita kerana kita mendengar mereka dibunuh dengan kejam, dibakar hidup-hidup dan sebagainya.

“Semua rakyat tolong bertenang dan jangan timbulkan isu yang membangkitkan kemarahan dan mencetuskan sesuatu yang tidak diingini.

“Malaysia negara yang aman dan terkenal sebagai negara yang amat bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja yang berada di bumi Malaysia ini,” kata beliau lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat