Gunung rinjani memukau

- Advertisement -

MENGHIRUP secangkir kopi di Pelawangan Sembalun, 2,639 meter (m) cukup sukar digambarkan rasa puasnya berada begitu hampir dengan Puncak Gunung Rinjani, Lombok di Indonesia berketinggian, 3,726 m dari aras laut.

Panorama indah kampung Sembalun pula terbentang di sebelah kiri lelaki berusia 34 tahun itu. Di sebelah kanannya juga menyajikan pemandangan cukup memukau apa lagi jika bukan tasik kebiruan yang di tengah-tengahnya mempunyai kawah gunung berapi.

Sebaik sahaja memandang ke atas, nah! pemandangan puncak Gunung Rinjani yang bakal ditawan Ariffin Mutalib bersama 13 rakan pendaki dari Malaysia.

Ariffin berkata, Gunung Rinjani menjadi destinasi idaman dia dan rakan-rakan yang berkelana bersama ke situ sejak September tahun lalu.

“Gunung Rinjani ini cukup terkenal dalam kalangan pendaki di seluruh dunia kerana ia mempunyai pemandangan yang memukau dan mempunyai cabaran tersendiri.

“Tambahan pula, Gunung Rinjani ini gunung pertama di Indonesia yang ingin kami takluki.

“Melihat foto dikongsikan rakan di Malaysia ke destinasi itu yang pernah menawannya, sudah pasti mendorong kami juga ingin merasai pengalaman yang sama,” katanya.

Mereka bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 27 April lalu. Penerbangan tiga jam itu bersulamkan pelbagai rasa, terutama teruja dan mendebarkan kerana ia kali pertama mereka mendaki gunung yang mempunyai laluan muka bumi gunung berapi.

“Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami disambut pihak yang menguruskan aktiviti pendakian dan berkelana di Lombok selama lima hari.

“Pada hari pertama kami menuju ke inap desa terletak di Sembalun kerana pada hari kedua kami memulakan pendakian menakluki gunung,” katanya.

Jelasnya, pada hari pertama pendakian mereka memulakan perjalanan di Pintu Masuk Pendakian Sembalun seawal jam 7.30 pagi.

“Menjadi sasaran pada hari pertama ialah menuju ke Pelawangan Sembalun yang mempunyai jarak lima kilometer.

“Sepanjang menuju ke Pelawangan Sembalun itu, ada empat lokasi berehat atau titik pemeriksaan (check point) yang dikenali sebagai Pos 1, Pos 2, Pos 3 dan Pos 4,” katanya.

Ariffin berkata, sepanjang pendakian sehingga ke Pos 3 laluan denai yang agak landai menjadi peneman perjalanan mereka.

 

LALUAN masuk ke jalur pendakian Gunung Rinjani.
LALUAN masuk ke jalur pendakian Gunung Rinjani.

 

Lebih menarik, katanya pelbagai panorama unik dinikmati antaranya seperti berada di gurun savana kerana terdapat lokasi yang lapang dan agak panas.

“Ketika di Pos 4 menuju ke Pelawangan Sembalun, kami berdepan cabaran tersendiri kerana laluannya agak mencanak.

“Walaupun mencanak laluan itu, kami merasa tenang menikmati pemandangan pokok ru di sepanjang pendakian. Bagi saya laluan pendakian ke Pelawangan Sembalun ini mempunyai magis tersendiri yang cuk

up memukau,” katanya.

Katanya lagi, sekitar jam 4 petang mereka tiba di Pelawangan Sembalun yang menjadi kem induk untuk ke puncak Gunung Rinjani.

“Di situ ada deretan khemah pendaki yang bakal melanjutkan pendakian ke puncak gunung pada awal pagi keesokan harinya.

 

SEAWAL jam 2 pagi peserta pendakian sudah bangun untuk persiapan menuju ke puncak.
SEAWAL jam 2 pagi peserta pendakian sudah bangun untuk persiapan menuju ke puncak.

 

“Ketika tiba di Pelawangan Sembalun, seperti dikatakan panoramanya cukup mahal kerana 360 darjah pemandangan begitu memukau dan mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Katanya, sebaik sahaja menikmati makan malam seawal 7 malam, rakan-rakan pendaki lain mula melelapkan mata pada jam 8.30 malam.

“Kami perlu tidur dan berehat awal kerana pada jam 2 pagi untuk bersarapan dan bersedia meneruskan pendakian ke puncak Gunung Rinjani.

“Ketika itu, cuaca sejuk menjadi peneman dan kami sudah menyarung jaket tebal. Malah, dinasihatkan oleh penunjuk arah pendakian untuk memakai pakaian bersesuaian dengan cuaca sejuk,” katanya.

Katanya, memulakan pendakian ke puncak Gunung Rinjani dari Pelawangan Sembalun bukan sesuatu yang mudah kerana mencanak dan mempunyai pasir halus yang menyukarkan perjalanan.

“Saya boleh katakan, setapak mendaki, dua tapak turun. Di sinilah memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk tiba ke puncak gunung berkenaan yang mempunyai jarak sekitar lima kilometer dari kem induk berkenaan.

“Akhirnya ahli kumpulan kami paling awal tiba pada jam 7.15 pagi dan paling terakhir pada jam 11 pagi,” katanya.

Katanya, ketika di puncak Gunung Rinjani dia dan rakan pendakian yang lain hanya berehat dan menikmati pemandangan di puncak itu tiga jam sahaja.

 

ARIFFIN tiba di puncak berlatar belakang Segara Anak.
ARIFFIN tiba di puncak berlatar belakang Segara Anak.

 

“Puas menikmati pemandangan dan merakam foto, kami turun ke kem induk pada jam 9.30 pagi. Kami semua tiba ke Pelawangan Sembalun jam 11 pagi untuk mengisi perut dan memulakan perjalanan turun ke Kampung Sembalun,” katanya.

 

SEMUA barisan pendaki tiba di puncak Gunung Rinjani dan merakam memori bersama.
SEMUA barisan pendaki tiba di puncak Gunung Rinjani dan merakam memori bersama.

 

Jelasnya, ketika membelek foto dan video dirakam sememangnya Gunung Rinjani begitu sesuai dengan aura popularitinya kerana mempunyai pemandangan luar biasa untuk memukau pemandangan si pendaki.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat