JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau rela tidak menjadi Menteri Besar sekiranya DAP bersama BN dalam pentadbiran Johor.
Beliau berkata, pendirian itu bukan berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya demi memastikan BN Johor dapat mentadbir negeri mengikut acuan dan mandat rakyat.
“Jika diberi mandat, BN Johor tidak akan bersama DAP. Saya rela tidak menjadi Menteri Besar jika DAP bersama BN dalam pentadbiran Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri Johor.
Onn Hafiz berkata, Johor merupakan negeri yang dibina atas semangat kebersamaan antara masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli dan kaum-kaum lain.
“Ini bukan isu perkauman. Di Johor, masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain duduk sebagai satu keluarga. Kita semua Bangsa Johor,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri selama ini membuktikan bantuan rakyat diberikan secara menyeluruh tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Katanya, Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang kini memasuki fasa keempat turut memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, suri rumah, warga emas dan ibu tunggal.
Beliau berkata, pendirian politik BN Johor tidak harus disalah tafsir sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum, sebaliknya merupakan keputusan politik berhubung hala tuju pentadbiran negeri.
Dalam majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan dua tokoh veteran politik negara, Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Syed Hamid Albar kembali menyertai UMNO.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang hadir selepas penggantungan keahliannya ditarik balik.
Majlis Pelancaran Jentera BN Johor itu menghimpunkan kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri sebagai persediaan menghadapi PRN Johor. – SuaraTV


