KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan pembatalan sidang media pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN) tengah hari tadi dibatalkan susulan beliau mengadakan perjumpaan dengan delegasi Jabatan Kesihatan negeri itu.
Penjelasan pertemuan itu merungkai spekulasi ‘urusan penting’ sehingga membawa kepada pembatalan sidang media pada saat akhir.
“Petang ini saya mengadakan perjumpaan bersama delegasi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di Pejabat Menteri Besar bagi membincangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Kesihatan Nasional Peringkat Negeri Sembilan.
“Delegasi tersebut terdiri daripada Dr. Suriati Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Mohd Ammar Ihsan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Puan Junidah, Pegawai Sains (Pemakanan), Dr. Azline Abdillah, Ketua Penolong Pengarah Kanan serta Puan Norlaily Md Nasir, Ketua Penolong Pengarah Promosi Kesihatan.
“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana positif dan konstruktif ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh agenda kesihatan awam, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan hidup sihat serta memperkasa kerjasama antara agensi dalam menangani cabaran kesihatan semasa,” katanya.
Menurut Aminuddin, kesihatan rakyat merupakan antara keutamaan kerajaan negeri kerana masyarakat yang sihat akan menjadi asas kepada pembangunan negeri yang mampan dan sejahtera.
“Semoga segala perancangan yang dibincangkan dapat direalisasikan dengan baik serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan melalui sistem kesihatan yang lebih proaktif, menyeluruh dan berkesan,” katanya.



