‘Gandingan baik pengaruhi kualiti lakonan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi. Perumpamaan ini tepat ditujukan kepada dua bintang senior, Faizal Hussein, 54, dan Nabila Huda, 37, yang mengikut jejak langkah keluarga seni mereka.

Jika Faizal lahir daripada darah seni yang mengalir dalam pasangan Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Seniwati Mahyon Ismail, Nabila pula anak penyanyi rock terkenal, Amy Search.

Sejak awal, Faizal mahupun Nabila sudah melakar kecemerlangan menerusi kerjaya lakonan, apatah lagi, aktif berlakon sejak remaja lagi.

Malah, Faizal mula menceburi bidang lakonan sejak berusia lima tahun menerusi tiga filem iaitu Darah Panglima, Penyamun Si Bongkok dan Kelana.

Popular dan terbaik, kedua-dua trofi berkenaan pernah berada dalam genggaman mereka.

Justeru, kredibiliti dua bintang handalan ini bukanlah perkara asing buat industri seni. Selain itu, kewibawaan menjayakan watak berat dan mencabar seterusnya menggandingkan Faizal dan Nabila untuk membawa watak utama menerusi filem M4M4.

Dengan kejayaan watak dibawa melayakkan mereka membolosi calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan

Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menerusi M4M4.

Menghargai pencalonan ini, Faizal berkata, dia tidak pernah menyangka namanya masih boleh menembusi pencalonan anugerah yang berkonsepkan undian peminat.

“Sememangnya saya bersyukur masih membolosi pencalonan ABPBH 34 dalam usia 54 tahun. Ini kerana industri sedang dibanjiri pelakon generasi muda, namun, penganjur, BH tetap mencalonkan saya.

“Jujurnya, saya masih kekal relevan sehingga hari ini disebabkan bantuan media massa dan pada masa sama, hasil kerja keras yang dipamerkan.

“Ia juga mengekalkan saya dalam industri lakonan sejak muda sehingga hari ini,” katanya kepada BH Online.

 

Gambar kenangan Faizal bersama arwah ibu bapa dan keluarganya. - Foto Facebook Hussein Abu Hassan
Gambar kenangan Faizal bersama arwah ibu bapa dan keluarganya. – Foto Facebook Hussein Abu Hassan

 

Berkongsi gandingannya bersama Nabila menerusi filem arahan Eyra Rahman itu, Faizal akui, gandingan baik akan mempengaruhi kualiti lakonan.

Sehubungan itu, Faizal berkata, bergandingan dengan Nabila memberikan impak positif pada lakonannya.

“Saya mengenali Nabila sejak bayi lagi, namun ini kali pertama saya digandingkan dengannya dalam filem.

“Disebabkan melihat nama Nabila dalam senarai pelakon menjadi faktor yang membuatkan saya menerima tawaran filem ini. Jadi, saya tiada masalah bekerja dengan Nabila.

“Semua orang mempunyai cara tersendiri dalam bekerja, begitu juga Nabila. Apa yang penting, kualiti yang ditonjolkan di layar perak,” katanya.

Berkongsi karakter sebagai anggota polis, Inspektror Azahari dalam filem M4M4, Faizal berkata, pada awalnya, dia agak keberatan menerima tawaran watak itu pada usia begini.

“Selalunya, saya akan mendahulukan tawaran lakonan lebih mencabar daripada watak polis, tetapi disebabkan filem ini arahan Eyra Rahman dan undangan pertama syarikat, Da Motion Media, jadi saya terima.

“Jujurnya, saya mula menapis tawaran sejak memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Ke-25. Saya mendahulukan projek sukar dan mencabar, seperti watak memerlukan saya bercakap bahasa berbeza atau seumpamanya.

“Ia barulah membuatkan saya teruja untuk menjayakan watak berbeza. Seperti sekarang, saya melakonkan watak orang minyak menerusi telefilem Orang Minyak arahan Datuk Jurey Latiff Rosli.

“Sudah masanya saya mengurangkan watak sebagai bapa dan memilih watak utama,” katanya yang kini sedang menjalankan penggambaran di Lenggong, Perak.

Bagi Faizal, dia akan menjadi lebih eksklusif setanding dengan tempoh pembabitan dalam industri lakonan sekiranya jarang membintangi drama televisyen (TV) yang memaparkan jalan cerita klise.

 

Nabila bersama bapanya, Amy Search. - Foto NSTP
Nabila bersama bapanya, Amy Search. – Foto NSTP

 

Sementara itu, lakonan mantap dijayakan Nabila menerusi filem M4M4 itu tidak perlu dipersoalkan lagi.

Kemampuannya menjiwai pelbagai karakter sentiasa menyentuh hati penonton yang menyaksikan lakonannya di kaca TV mahupun layar perak.

Nabila yang juga calon awal bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Watak Antagonis Popular, ABPBH 34 bertanggungjawab menggalas peranan sebagai ibu tunggal bernama Aini yang mempunyai anak perempuan berusia 16 tahun.

Berkongsi mengenai wataknya, Nabila berkongsi, air matanya tumpah apabila melakonkan setiap babak sepanjang penggambaran.

“Saya menangis hampir keseluruhan babak dalam filem ini memandangkan jalan cerita cukup dekat dengan saya.

“Perasaan ini lahir daripada hati seorang ibu. Bayangkan, sukar untuk saya menerimanya jika kejadian seperti ini berlaku kepada anak perempuan saya.

“Gandingan saya sebagai ibu dan anak bersama Bella Dowanna juga sudah ada ‘bonding’ sebelum penggambaran bermula. Jadi, senang kami bekerjasama apabila serasi,” katanya.

Nabila berkata, dia betul-betul menangis tanpa menggunakan titisan ‘eye mo’.

“Saya tidak mahu lakonan tidak sampai dan penonton tidak merasai emosi keperitan seorang ibu yang kehilangan anak.

“Pengarah banyak beri panduan untuk mencorakkan watak dibawakan. Saya akan mengikut kehendak pengarah supaya watak tidak stereotaip dengan karakter lain yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.

Filem terbitan Da Motion Media itu ditayangkan pada 6 Februari, tahun lalu. Ia berkisarkan ketabahan seorang wanita dalam membalas dendam untuk menuntut keadilan terhadap kematian tragis anak perempuannya.

Ia turut dibintangi Kodi Rasheed, Nizam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Razali dan Izzy Reef.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat