Bakat pemuzik tempatan diangkat di Toronto

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada kata-kata mampu dilafazkan penyanyi dan komposer, Asfan Shah sebaik sahaja menerima berita lagu berjudul Sifar dihasilkan bersama Lady D, Tripdisz dan Kmy Kmo diangkat sebagai juara menerusi International Media Festival For Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Single yang juga menjadi runut bunyi filem Warkah terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2019 itu mengungguli kategori Music Is Key, iaitu salah satu daripada enam kategori dipertandingkan pada IMFP.

Mengulas kemenangan itu, Afan menyifatkan, ia bagaikan mimpi, sekali gus satu pengiktirafan terbesar buat dirinya sepanjang sedekad bergelar anak seni.

“Saya dimaklumkan mengenai penyertaan lagu Sifar ke IMFP, namun terlalu memikirkannya. Malah, saya tidak letak harapan kerana tahu ia bertaraf antarabangsa dan persaingan sengit.

“Apabila dimaklumkan lagu Sifar tersenarai dalam tiga kedudukan teratas, saya teruja, namun tetap tidak meletakkan harapan tinggi.

“Jujurnya, saya bersyukur dengan kemenangan ini. Ia adalah julung kali saya menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan tidak sangka menang,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah Cintaku itu, kemenangan juga memberi keyakinan kepadanya untuk menghasilkan lagu berentak rancak yang berkualiti.

“Ramai sudah sedia maklum kebanyakan lagu ciptaan saya berentak balada dan berkaitan dengan cinta, itulah yang berjaya mengetengahkan bakat saya dalam dunia nyanyian.

“Sebelum ini, saya pernah menghasilkan dua lagu rancak, tetapi gagal. Justeru, kemenangan ini sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk terus menghasilkan lagu rancak pada masa akan datang,” ujarnya.

Berkongsi pembikinan lagu Sifar, Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin berkata, lagu itu memberi cabaran tersendiri kerana perlu fokus pada mesej yang hendak disampaikan oleh penerbit lagu.

“Lagu ini diinspirasi daripada kisah benar mengenai pencarum PERKESO. Agensi itu mahu lagu ini menyalurkan mesej mengenai misi mengelakkan berlaku kemalangan di tempat kerja dan kepentingan mencarum bagi dimanfaatkan pada masa akan datang.

“Selama ini, saya bebas untuk menghasilkan lirik apa yang sesuai mengikut kehendak hati jika mencipta lagu. Namun, agak berbeza kali ini kerana saya perlu lebih spesifik supaya mesej yang disampaikan tidak lari dari tujuan asal,” katanya.

 

Lagu Sifar yang juga runut bunyi filem Warkah terbitan PERKESO mengungguli kategori Music Is Key, salah satu daripada enam kategori dipertandingkan pada IMFP. - Foto Ihsan PERKESO
Lagu Sifar yang juga runut bunyi filem Warkah terbitan PERKESO mengungguli kategori Music Is Key, salah satu daripada enam kategori dipertandingkan pada IMFP. – Foto Ihsan PERKESO

 

Berkongsi pendapat yang sama dengan Asfan, Lady D menyimpulkan kolaborasi itu memberi satu pengalaman baharu buat dirinya.

“Ini juga satu cabaran kerana kami tidak biasa bekerja dengan agensi kerajaan yang mahu karya dihasilkan lebih spesifik seperti Sifar.

“Apabila menghasilkan lagu cinta, ia lebih subjektif. Untuk buat lagu ini, kami kena kaji betul-betul,” ujarnya pada sidang media virtual bersama PERKESO, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus.

Sementara itu, Kmy Kmo berkata, lagu Sifar menguji kreativiti sebagai penulis lirik. Meskipun tugas itu mencabar, namun berpuas hati apabila karya mendapat pengiktirafan.

“Sama Lady D, lagu Sifar amat mencabar buat kami kerana perlu fokus pada topik dan kandungan yang mahu disampaikan.

“Topik tidak boleh lari dan sebagai seorang yang sudah biasa menghasilkan karya menerusi idea yang diperoleh spontan, ia agak sukar untuk dilakukan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila lagu Sifat beroleh kemenangan. Paling penting, lagu ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan segala usaha kami berbaloi,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat