LCS: Syarikat milik keluarga menteri bekal putik kapas dalam kontrak alat ganti kapal perang?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendesak Perdana Menteri memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad daripada menganggotai Jemaah Menteri.

Malah katanya, ini satu ujian penting untuk menilai adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini.

Dalam artikel pendedahan terbarunya berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), Rafizi mempersoalkan “berapa banyak daripada RM1.7 bilion yang dibeli itu sebenarnya alat-alat gantian yang diperlukan untuk kapal bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal?

“Dan berapa banyak dari stok alat gantian itu sebenarnya untuk barang-barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa? soal Rafizi.

Katanya sejak beliau mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Datuk Dr. Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga sekarang Dr. Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar. Lagi pun, perkara ini dinyatakan secara bertulis di dalam Laporan Forensik Projek LCS,” dakwanya.

Rafizi berkata, sejumlah besar kontrak Alizes Marine Limited (syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat-alat gantian (“spare parts”) kapal itu.

“Syarikat ini dilantik dengan memberi gambaran bahawa ia berkaitan dengan sebuah syarikat Perancis (Alizes Marine France) yang mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan dari Kerajaan Perancis. Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan. Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis,” dakwa beliau lagi.

Malah katanya, laporan Forensik Projek LCS telah mendedahkan bahawa syarikat palsu ini tidak pun mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan seperti yang didakwa.

Lebih teruk lagi katanya, syarikat palsu ini menghantar invois bagi barang-barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian pertahanan.

“Sesetengah barang-barang yang dibekalkan adalah barang-barang biasa yang boleh dibeli di pasar raya Mydin atau kedai serbaneka 7-Eleven.

“Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan:“Global purchase orders (PO) issued to Alizes Marine contained certain items which did not belong to Depot level spare parts (repairs and maintenance) such as mineral water, cotton bud packs, cleaning cloth, fans etc. This signified the level of discrepancy and deception in the process of procurement.”

“Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, putik kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.” dedah Rafizi lagi.

Tambah beliau lagi, kontrak untuk membekalkan kononnya alat-alat gantian kapal yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan pembayaran sekitar RM210 juta setakat tahun 2011 ke 2015 sahaja.

“Sebab itu ada beberapa soalan penting yang perlu dijawab berhubung stok alat-alat gantian kerana Laporan PAC mendedahkan projek telah membeli sehingga RM1.7 bilion alat-alat gantian sedangkan kapal belum siap.

“Soalannya, apabila Umno-BN mendakwa projek telah mencapai 50 peratus kemajuan sehingga 2018 (sejak pembinaan bermula), berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

“Dengan tiadanya penafian dari Dr Latiff atau fakta-fakta yang menolak pendedahan setakat ini, sudah sampai masanya tindakan politik diambil terhadap Dr Latiff,” tegasnya.

Ada dua tindakan bermaruah yang perlu disegerakan kata Rafizi iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat Dr. Latiff dari jemaah menter dan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri yang Bersatu membuat keputusan supaya Dr. Latiff digantikan dengan calon lain dari Bersatu di dalam jemaah menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat