KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa sedang merancang dan menggerakkan usul bagi mendesak Parlimen dibubarkan dalam tempoh dua minggu.
Bukan cuma itu, beliau juga akan mendesak supaya Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara ditukar.
Difahamkan Zahid memanggil empat peringkat pimpinan Umno Sabtu ini dalam acara Taklimat Khas Presiden bertujuan menguatkan desakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sumber memaklumkan bahawa, Zahid mahu Parlimen dibubarkan dalam tempoh dua minggu.
“Zahid panggil Taklimat Khas Presiden empat peringkat Sabtu ini untuk kuatkan desakan terhadap Perdana Menteri untuk bubar Parlimen,”dakwa sumber itu lagi.
Selain desakan segera bubar Parlimen, Zahid dalam mesyuarat Biro Politik malam tadi juga mengusulkan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun diganti.
Kata sumber itu lagi, Biro Politik semalam juga membuat ulasan dan perincian kes mahkamah dan hukuman penjara yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.
Semalam Suara.TV melaporkan Biro Politik Umno mempersoalkan mengapa mahkamah tidak membenarkan kes Najib ditangguh, kenapa tak lanjutkan tempoh perbicaraan Najib juga mempertikai kenapa hukuman dijatuhkan tergesa-gesa.