Arthur Sokong Belanjawan Madani 2023 “Menoktahkan Miskin Tegar”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup menyokong penuh Belanjawan 2023 untuk “menoktahkan miskin tegar”.

Beliau berkata kerajaan mengambil langkah yang baik apabila meletakkan keutamaan Belanjawan 2023 dalam aspek pendidikan dengan peruntukan paling besar iaitu sebanyak RM55 bilion dan diikuti oleh kesihatan sebanyak RM36 bilion.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Itu berharap agar diberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah kemudahan kesihatan dan pendidikan yang daif di kawasan parlimen tersebut.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri untuk menaik taraf sejumlah 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di seluruh negara amat dialu-alukan.

“Jesteru, saya berharap agar Sabah khususnya kawasan pedalaman seperti Parlimen P.182 Pensiangan akan diberi keutamaan dan dipercepatkan pelaksanaannya untuk menyelesaikan masalah kemudahan kesihatan dan pendidikan yang dalam keadaan daif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arthur berkata, Kerajaan Perpaduan prihatin dalam memastikan tiada yang terpinggir daripada menikmati bantuan dan perkhidmatan walaupun negara mendepani cabaran ekonomi.

“Kerajaan melalui Belanjawan Malaysia Madani 2023 turut memberi perhatian membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya golongan B40.

“Peruntukan sebanyak RM2.5 bilion bagi pelaksanaan projek pelaksaaan awam di Sabah dan Sarawak membabitkan projek jalan, lampu jalan, bekalan elektrik dan air untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.

“Kerajaan memberi fokus kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan pembangunan yang besar iaitu masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion dalam Bajet 2023,” katanya.

Selain itu, beliau berkata inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ditambah baik, kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dan Jualan Rahmah akan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung golongan B40 terutamanya di kawasan pedalaman.

“Negeri Sabah mempunyai jumlah Isi Rumah yang berstatus miskin tegar yang agak besar dan saya mengharapkan agar Sabah diberi keutamaan dalam pelaksanaan usaha ini melalui program yang dijenamakan semula sebagai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR),” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyokong cadangan Perdana Menteri untuk meneruskan usaha pembangunan kawasan sempadan.

“Dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, Kerajaan akan membangunkan kawasan-kawasan yang bersempadan seperti Kalimantan, Indonesia dan ini termasuklah di kawasan Pensiangan.

“Ini adalah usaha untuk memastikan kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan seperti Pensiangan bersedia untuk menerima limpahan ekonomi hasil daripada pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bagi meneruskan bantuan baik pulih rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Sejajar dengan semangat Malaysia Madani, saya percaya peruntukan itu akan memberi manfaat kepada semua agama dan kaum di negara ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat