KUALA LUMPUR – Kalau benar begitu jijik untuk “duduk semeja” dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin Umno masih terus duduk semeja bersama pemimpin DAP dalam Kabinet Persekutuan setiap minggu?
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, bukankah Presiden Umno sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang turut dianggotai DAP?
“Bukankah kerajaan hari ini dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kerajaan Perpaduan yang disertai semua parti utama termasuk PH dan BN?
“Inilah yang mengelirukan rakyat. Di Putrajaya bercakap tentang kestabilan dan perpaduan. Di Johor pula memainkan naratif permusuhan dan ketakutan,” kata Mahfuz.
Menurut Mahfuz, politik dua wajah seperti ini bukan tanda kekuatan, tetapi tanda krisis dalaman yang masih gagal diselesaikan dalam Umno sendiri.
“Kenyataan seperti ini juga memperlihatkan adanya tekanan dalaman terhadap kepimpinan Umno pusat supaya kembali kepada politik lama yang bersandar kepada sentimen sempit demi mempertahankan sokongan Melayu.
“Malangnya, rakyat Johor hari ini sudah jauh berubah,” katanya.
Ujar pemimpin Amanah itu lagi, kenyataan Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau “lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP” memperlihatkan betapa politik lama yang bersandar kepada sentimen dan ketakutan masih belum berakhir dalam sebahagian kepimpinan Umno Johor.
“Rakyat Malaysia dan Johor hari ini sedang berdepan tekanan ekonomi, ketidaktentuan global, kos sara hidup dan kebimbangan terhadap masa depan anak muda. Namun malangnya, sebahagian pemimpin masih memilih memainkan retorik politik lama dengan menjadikan DAP sebagai “punching bag” setiap kali pilihan raya tiba.
“Persoalan besar rakyat sangat mudah.
“Anak muda tidak lagi mahu politik yang asyik mencari musuh.
“Rakyat mahu jawapan tentang pekerjaan berkualiti, rumah mampu milik, pelaburan masa depan, teknologi, pendidikan dan kos hidup,” katanya.
Mahfuz berkata lagi, Johor mempunyai potensi besar menjadi negeri masa depan Malaysia. Pusat teknologi, AI, logistik, ekonomi digital dan pelaburan antarabangsa. Tetapi negeri ini tidak akan bergerak maju jika politiknya terus tersekat dalam propaganda lama.
“Lebih mengecewakan, DUN Johor dibubarkan ketika negara sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik Asia Barat dan tekanan geopolitik global.
“Ketika kerajaan Mdani sedang bekerja keras menyusun ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, Johor sekali lagi dibawa ke medan perebutan kuasa politik.
“Rakyat boleh menilai sendiri keutamaan sebenar sesetengah pemimpin.
“PH dan Amanah membawa pendekatan politik yang lebih matang, tenang dan berpandangan jauh.
“Kita tidak mahu politik kebencian. Kita mahu politik penyelesaian,” tegasnya.
Kata beliau, di Putrajaya, Kerajaan Madani mempertahankan kestabilan negara.
“Di Johor, rakyat perlu memilih masa depan yang lebih progresif, inklusif dan berorientasikan rakyat bersama kestabilan negara.
PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa paling kuat menjerit di pentas politik.
“Ia adalah pertarungan antara politik masa depan melawan politik lama yang masih hidup atas sentimen dan ketakutan.
Johor tidak perlukan lebih banyak drama politik bersiri.
“Johor perlukan kepimpinan yang benar benar memahami denyut nadi rakyat dan berani membawa negeri ini melangkah ke hadapan,” katanya.



