Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sektor Bangunan, Dato ’ Ir. Ibrahim Esa telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JKR yang baharu berkuat kuasa 8 Jun 2026, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini,” kata Shamsul Azri dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Ibrahim, 58, menggantikan Dato’ Sri Ir. Roslan Ismail yang bersara wajib pada 25 Mei lalu.
Ibrahim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memiliki pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan awam serta pengurusan projek pembangunan infrastruktur dan fasiliti awam selama 32 tahun.
Selaku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) sejak tahun 2024, Ibrahim berperanan penting dalam memperkukuh pembangunan projek kerajaan, tadbir urus teknikal dan kemudahan awam.
“Saya yakin bahawa dengan pengalaman luas dan kepakaran teknikal yang dimiliki beliau dapat memacu kecemerlangan JKR sebagai agensi peneraju pembangunan infrastruktur negara serta memperhebat kecekapan pelaksanaan projek pembangunan negara ke tahap tertinggi,”ujar Shamsul Azri.
Terdahulu, JKR dalam catatannya di media sosial, menyatakan seluruh warganya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Sri Ir. Roslan Ismail atas segala jasa, kepimpinan serta pengorbanan sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan awam.
Katanya, sepanjang perkhidmatan, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan infrastruktur negara serta memacu kecemerlangan organisasi menerusi pelbagai inisiatif dan pembaharuan.-SUARA.TV


