Ketua Bahagian Bersatu Keluar Parti, Umum Sertai NGO dan Sokong BN

- Advertisement -

KUALA NERANG – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta, selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan.

Syed Sobri mendakwa, turut mengambil tindakan sama adalah lebih 1,000 ahli parti bahagian itu dan empat ketua serta ahli jawatankuasa (AJK) beberapa cawangan di Padang Terap.

“Keputusan ini dibuat atas kerelaan tanpa paksaan atau kerana habuan pihak tertentu, ini bukan sebab pilihan raya atau gila jawatan.

“Saya pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang semasa masih bersama Barisan Nasional (BN) bermula 2008 hingga 2013 dan sudah memegang jawatan Ketua Bahagian Bersatu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Sobri berkata, berikutan itu, pihaknya kini memilih mendokong BN dan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sekiranya beliau dicalonkan.

“Mahdzir sudah membuktikan pencapaian beliau selama ini dalam membela masyarakat serta memacu pembangunan untuk rakyat di Padang Terap, negeri dan negara.

“Saya serta ahli yang keluar parti akan dihimpunkan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penggerak Masyarakat Padang Terap yang ditubuhkan saya sendiri dan akan memberi sokongan kepada calon BN,” katanya.

Mengulas lanjut Syed Sobri berkata, perjuangan Bersatu ketika ini tampak kabur dengan peruntukan untuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tidak diberikan.

“Sebahagian besar pimpinan parti ini diulit kuasa dan jawatan seolah-olah berada di kayangan, walhal nasib rakyat di bawah termasuk pimpinan akar umbi tak terbela. Di Kedah ini, Bilik Gerakan Bersatu negeri yang terletak di Alor Setar itu pun tak berfungsi dan selalunya gelap.

“Di Padang Terap ini ada 31 PDM dan setiap satunya memerlukan RM3,00 hingga RM4,000 untuk beroperasi tetapi peruntukan tak ada. Menteri-menteri Bersatu pula jika dipanggil ke kawasan-kawasan terpencil seperti di Padang Terap ini tak mahu turun dan itu antara menyebabkan kami kecewa,” katanya.

Sementara itu, Syed Sobri turut menafikan keputusan yang diambil itu ada kena mengena dengan khabar angin bahawa beliau kecewa selepas Pas dijangka bertanding di Parlimen itu dan bukannya calon Bersatu.

“Sebelum Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional (PN), kita memang ada persetujuan iaitu mana-mana kerusi dimenangi BN akan ditandingi Bersatu, manakala kerusi dimenangi Pas kekal kepada parti itu, begitu juga dengan kerusi dimenangi PKR serta Amanah kekal kepada Pas.

“Jadi kalau pilihan raya negeri (PRN) nanti, kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) itu adalah kerusi Pas. Kita pegang pada prinsip itu dan itu saja yang saya boleh komen,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat