UIAM Pertahan Kejuaraan Debat Diraja Antara IPT 2022

- Advertisement -

CYBERJAYA – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempertahankan kejuaraannya apabila muncul johan pertandingan debat diraja antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

Memetik laporan BH, kejayaan muncul johan bagi kategori Bahasa Melayu itu membolehkan pasukan UIAM membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama piala dan sijil, manakala Universiti Malaya (UM) pula dinobatkan johan kategori Bahasa Inggeris.

UIAM mempertaruhkan Muhamad Ilham Hafiz Azmi, 22; Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 20; Muhammad Luqman Ismail Zawawi, 22, dan Muhammad Aqil Mujahid Mukhtar, 21.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Mengulas kejayaan itu, pendebat UIAM Muhamad Ilham Hafiz berkata, dia tidak menyangka kumpulannya berjaya meraih kemenangan sekali gus mengulangi kejayaan pada 2019 dan 2021.

Beliau yang dinobatkan sebagai pendebat terbaik berkata, pertandingan kali ini begitu sukar kerana mendapat saingan hebat pendebat IPT lain yang menampilkan hujah yang baik.

“Saya bersyukur membantu UIAM mempertahankan kejayaan hatrik selepas tidak bertanding pada 2020 akibat pandemik.

“Lebih menggembirakan, ini kejayaan kali ketiga saya secara peribadi dalam pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, Megat Sany berkata, sebanyak 53 pasukan dari 24 IPT menyertai debat diadakan secara dalam talian bagi pusingan awal dan secara bersemuka untuk separuh akhir dan akhir yang bermula semalam.

Beliau berkata, pertandingan itu adalah medan debat utama dianjurkan di peringkat nasional yang mempertemukan barisan pendebat-pendebat utama dari semua universiti awam dan universiti swasta terpilih.

“Selain itu, program ini mengangkat debat sebagai platform penting dalam menerapkan nilai dan sikap positif dari segi intelek, akademik dan etika dalam kalangan mahasiswa IPT.

“Ia sekali gus membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa mengenai isu-isu semasa berasaskan tradisi argumentasi, perbincangan perbahasan, kajian dan penganalisaan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat