Najib Persoal Langkah Jual FGV Ketika Syarikat Itu Diambang Keuntungan

- Advertisement -

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan adakah sekarang masa yang sesuai untuk FGV Holdings Berhad (FGV) dijual kepada pihak ketiga tatkala syarikat itu di ambang kembali mencatatkan keuntungan.

Beliau berkata, harga sawit dunia pada masa kini sudah memulih dan mencecah RM3,100 satu tan iaitu sama harga ketika FGV disenaraikan pada tahun 2012.

“Saya ingin utarakan juga iaitu FGV adalah pemilik syarikat gula terbesar negara MSM, manakala Tradewinds milik Syed Mokhtar adalah pemilik syarikat gula kedua terbesar negara iaitu CSR.

“Kedua-dua syarikat ini menguasai 90 peratus pasaran gula Malaysia. Adakah pembelian ini akan mewujudkan satu monopoli yang bakal menaikkan harga gula dan akhirnya merugikan pengguna?” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, pada minggu lalu, syarikat FGV Berhad menerima notis daripada syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk menjadi pemilik saham terbesar FGV.

“Kaedah ini ialah dengan FGV membeli syarikat Tradewinds milik Syed Mokhtar dengan bayaran dalam bentuk saham FGV. Dengan ini, Syed Mokhtar akan menjadi pemilik saham terbesar FGV.

“Minggu lepas, lembaga pengarah FGV umumkan hasrat mereka untuk pertimbangkan tawaran Tan Sri,” katanya.

Najib berkata, Usaha Syed Mokhtar membeli FGV sebenarnya dimulakan pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Dr Mahathir pada ketika itu menyatakan bahawa beliau tidak melihat penjualan FGV kepada pihak lain sebagai satu masalah jika ia boleh mendatangkan keuntungan kepada kerajaan.

“Kata Dr Mahathir, kalau serah (kepada pihak lain) saya bantahlah, tetapi kalau jual dapat duit banyak kepada kerajaan, kerajaan nak cari duit. Apa yang boleh jual, kita juallah, tinggal kita tidak jual Malaysia sahaja.

“Soal jualan harta tanah, harta kerajaan memang kita buat selalu. Pasal kita ada banyak tanah dan kita sendiri tak dapat nak bangunkan. Dia (FGV) rugi berjuta (ringgit). Kalau nak jual syarikat rugi, hak milik kerajaan pun, juallah,” katanya merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

Najib berkata, biarpun harga saham FGV turun dari RM4.55 semasa ia disenaraikan pada tahun 2012 ke RM2 pada awal tahun 2018 setelah harga sawit dunia turun dari kemuncaknya, akan tetapi FGV tak pernah rugi sebelum Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sepanjang tempoh itu, FGV tetap untung dan tetap membayar dividen tahunan kepada Felda serta menanggung kos penanaman semula sebanyak RM300 juta atas tanah Felda yang disewa.

“Tapi selepas PH ambil alih, FGV terus rugi setiap tahun sehingga ini setelah banyak menjual aset FGV termasuk perniagaan mereka di China.

“Secara am, saya tak membantah cadangan Lembaga Pengarah FGV dan kerajaan untuk pertimbangkan tawaran Syed Mokhtar,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat