DAPSY cabar Umno tanding semua 222 kerusi Parlimen kalau betul sudah “cukup kuat”, putus hubungan dengan PH

KUALA LUMPUR – DAPSY Kebangsaan menyindir retorik Pemuda Umno bahawa kononnya Umno sudah “cukup kuat” untuk bergerak solo.

Katanya, jika benar begitu, DAPSY mencabar Pemuda Umno untuk memastikan Umno untuk bertanding dalam kesemua 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dan memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di semua negeri tanpa pengecualian.

“Jangan selalu cakap tak serupa bikin seperti mana peletakan jawatan Exco Melaka, sebaliknya haruslah buktikan segera.

“DAPSY mengkritik segelintir pemimpin Pemuda Umno yang cetek pemikiran dan hanya pandai menulis hantaran yang menunjukkan bahawa mereka langsung tidak memahami analisis data Tindak Malaysia berkaitan landskap pilihan raya Johor.

“Realitinya mudah saja, keputusan PRU lepas adalah jelas sekali. Di Melaka, BN tewas dalam kesemua 6 kerusi Parlimen. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa Umno sebenarnya yang memerlukan PH untuk terus bernyawa. Oleh itu, Pemuda Umno usahlah menjual cerita bahawa kononnya BN “boleh menang sendiri” dan seolah-olah orang ramai tidak berupaya untuk membaca keputusan PRU lepas.

“Kalau Pemuda Umno betul-betul yakin untuk“bergerak solo”, mengapakah menteri-menteri Umno sekarang tidak mengikuti saranan Pemuda Umno untuk meletakkan jawatan dan keluar kerajaan? Adakah semua masih selesa pegang jawatan? Adakah ini bermakna menteri-menteri Umno sendiri pun tidak percaya kepada seruan Pemuda Umno?

“Kalau benar Umno mahu “all out”, DAPSY menyarankan Pemuda Umno untuk menunjukkan keberanian kepada pimpinan sendiri terlebih dahulu. Pemuda Umno haruslah mendesak para Menteri Umno untuk mengambil pendirian yang sama, bukanlah hanya menjerit dan berlagak hero di dalam media sosial,” selar DAPSY dalam kenyataan media pada Jumaat.

Dalam pada itu, DAPSY juga menempelak Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang kerap mencabar orang lain agar jangan hanya pandai menjerit, tetapi haruslah menunjukkan pendirian yang jelas melalui tindakan sebenar, bukannya tidak berani untuk meletakkan jawatan sehingga kini.

“DAPSY menegaskan bahawa kalau Pemuda Umno betul-betul bermaruah, maka jangan bagai melepaskan batuk di tangga. Lawan semua kerusi di semua negeri, tanpa rundingan dan tidak melalui pintu belakang. Pastikan betul-betul konsisten dalam pada itu.

“DAPSY juga mengingatkan Pemuda Umno untuk tidak mewujudkan episod yang memalukan, di mana ada negeri yang kononnya ingin “solo”, ada pula negeri yang ingin kekal Kerajaan Perpaduan, dan kerusi parlimen pula dibawa ke meja rundingan.

“Pemuda Umno tidak patut mendiamkan diri sekiranya ada mana-mana pimpinan Umno negeri yang sudah bermula untuk berunding dengan PH, bantahlah pemimpin negeri tersebut secara lantang, jangan hipokrit dan double standard,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat