Rasionalisasi Kemerdekaan

- Advertisement -
Oleh :
Mohamad Fhaizal Mohamad Bukhori

“Merdeka yang kita tuntut ialah merdeka yang membawa kesenangan bukan sahaja pada masa ini malahan sehingga ke akhir zaman”, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

“Rakyat mesti bekerja keras, mempunyai keberanian, keyakinan dan kesediaan untuk berfikir menjangkau kebiasaan jika mereka mahu berjaya dalam mewujudkan sebuah masyarakat baharu”, Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein.

“Tidak ada maknanya kekayaan, kemajuan dan kemakmuran jika rakyat berpecah-belah dan bergaduh sesama sendiri”, Tun Hussein bin Dato’ Onn.

Petikan kata-kata di atas mengingatkan kita kepada mod kepimpinan dan saranan pembentukan negara Malaysia pascamerdeka. Ini terutamanya pada tarikh 31 Ogos dan 16 September yang merupakan tarikh keramat yang pada saban tahun negara kita Malaysia akan menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia, kasih dan sayang serta dengan izin-Nya maka kita dapat terus menikmati dan mengecapi nikmat hidup di negara ini. Menerusi nikmat kemerdekaan, kita dapat hidup selesa, harmoni dan Makmur untuk kelangsungan hidup.

Isu menjadi sentimen

Dalam pada itu, kita terus diasak oleh pelbagai isu yang seterusnya menjadi duri dalam daging sepanjang tempoh selepas merdeka. Isu-isu yang timbul terus menjadi sentimen, masalah, provokasi, dan sebab kepada kepincangan beberapa sektor kehidupan dalam negara.

Isu politik, agama, sosial, ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar terus menjadi hangat sama ada secara berterusan atau berkala. Isu-isu ini terus diperdebatkan melangkaui zaman kedai kopi sehingga kini dalam talian.

Kadangkala dapat menyatukan kita warga Malaysia, namun sering memecahbelahkan kerana sensitiviti yang tersentuh. Kita tidak pernah serik dan belajar daripada apa yang pernah berlaku selama ini. Belajar daripada kesungguhan dan niat perjuangan warga penuntut kemerdekaan, pembina negara, dan pemaju negara selama ini.

Kerakusan dan hilang pertimbangan terhadap nilai kewangan dan kedudukan telah menjadikan semua entiti neutral dan bermakna menjadi berat sebelah dan tidak signifikan lagi.

Semarak merdeka

Dalam pada itu, untuk sekian kalinya pada tahun ini kita akan terus menyaksikan negara Malaysia menyambut hari kemerdekaan yang ke-63 pada 31 Ogos 2020. Namun, pelbagai isu yang ada dalam negara masih tidak selesai malah ada sebahagiannya menjadi lebih teruk.

Formula penyelesaian dan formula pertelingkahan sering bertembung yang menjadikan kehidupan seharian kita terus disajikan dengan debaran. Melangkah masuk ke bulan Ogos nanti pasti ada sebahagian daripada kita akan mengambil kesempatan untuk berkumpul sambil mengibarkan bendera negara Malaysia atau lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang dan bersorak ria bagi meraikan sambutan hari berkenaan di pelbagai peringkat.

Sesungguhnya penglibatan dan kehadiran segenap lapisan masyarakat pada setiap kali sambutan diadakan pasti akan terus menyemarakkan lagi program dan aktiviti yang telah direncanakan dan seterusnya menggambarkan sokongan dan cakna masyarakat kepada hari yang bersejarah tersebut.

Adalah tidak dinafikan sesungguhnya aktiviti yang telah dirangka dan disusun ini keseluruhannya berpaksikan kepada satu matlamat utama iaitu menyemai semangat nasionalisme, patriotism dan sayang kepada negara dalam kalangan kita semua sebagai warganegara. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun dirangkakan. Juga pepatah arab menyatakan, cinta akan watan itu adalah sebahagian daripada iman.

Tema memaknakan sambutan

Umum mengetahui, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini juga turut disertakan dengan logo dan tema yang tertentu bagi memberikan dan menjelaskan harapan serta ekspresi sambutan agar lebih bermakna. Bermula daripada Muhibah dan Perpaduan pada tahun 1970, Berdisiplin Berbakti (1980), Berjaya (1990), Keranamu Malaysia (2000), 1Malaysia Menjana Transformasi (2010) sehinggalah Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih pada tahun 2019, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia terus diingati dan dirai.

Namun, adakah cukup sekadar bagi kita khususnya dan negara amnya untuk meraikan dan menyambut hari berkenaan saban tahun menerusi upacara rutin yang termasuk mengibar Jalur Gemilang, melaungkan Merdeka, menyanyikan Negaraku, menyaksikan perbarisan, dan ucapan serta harapan retorik mendoakan kemakmuran negara?

Apakah kemerdekaan negara hanya cukup sekadar diingati tarikhnya dan disambut harinya sedemikian rupa? Apakah sikap nasionalisme dan patriotisme masyarakat yang sebenar? Pastinya apabila ditanya tentang makna sebenar kemerdekaan serta falsafah kemerdekaan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, jawapan yang bakal diterima nanti juga adalah merangkumi pelbagai tafsiran dan interpretasi.

Ini jelas menunjukkan sifat dan rencam kepelbagaian yang ada di negara ini dari awal penubuhan dan pembentukannya termasuklah kepelbagaian ras, etnik dan suku yang menggambarkan kepelbagaian budaya, adat, resam, tatasusila, pemahaman, pemikiran, pendidikan, pemajuan, pembangunan, pengembangan dan ideologi. Sukar untuk menyatakan dan mendefinisikan kemerdekaan kerana tiada istilah terbaik untuk menerangkannya.

Jika ada yang menterjemahkannya sebagai kebebasan, ini akan menimbulkan pelbagai konflik perdebatan dan percanggahan idea kerana perbezaan pandangan dan pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat kebebasan sepatutnya begini, dan ada pula yang berpendapat kebebasan seharusnya begitu.

Bukan sekadar simbolik

Yang pasti, merealisasikan falsafah kemerdekaan iaitu mekanisme mengangkat martabat bangsa itu adalah lebih penting dan utama kepada kita rakyat Malaysia berbanding hanya tindakan simbolik dan retorik yang sering dicanang. Falsafah inilah yang mulanya diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu dan wajib dipertahankan agar generasi akan datang dapat mengenali, menghayati, mengekal dan hidup sebagai bangsa merdeka dalam sebuah negara merdeka ini.

Justeru, falsafah yang tidak didukung dengan objektif (roh) dan tindakan (jasad) yang betul hanya akan kekal sebagai falsafah yang kaku. Sejarah sebelum ini telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar bukan terletak kepada kepimpinan yang bijak semata-mata tetapi semangat, jatidiri dan permuafakatan rakyatnya. Elemen-elemen tersebutlah yang menjadi rahsia serta tonggak kekuatan mereka.

Cabaran strategik Wawasan 2020

Oleh yang demikian, tindakan yang betul dan wajar dilakukan untuk menghidupkan falsafah kemerdekaan negara Malaysia dalam diri setiap warganya adalah dengan menggerakkan sembilan cabaran strategik yang telah digariskan dalam prinsip dan hala tuju Wawasan 2020 iaitu;

1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil dan didukung oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah: Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

3. Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.

4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi.

5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial dengan kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.

8. Pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi: Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum, dan

9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Inilah makna, semangat dan tindakan sebenar kemerdekaan yang wajar diingatkan, dijelaskan, diaplikasikan, diintegrasikan dan dibudayakan dalam setiap kalangan warga Malaysia.

Harus diamati bahawa mencapai kemerdekaan bukanlah satu sasaran terakhir pembentukan sebuah negara, akan tetapi ini merupakan batu loncatan untuk negara mencapai cita-cita yang lebih besar iaitu mengeluarkan masyarakat dan warga daripada polemik kemunduran, kehinaan dan non-consolidate. Oleh yang demikian, tugas dan peranan generasi masa kini pada hakikatnya masih belum berakhir dengan hanya sekadar menikmati hari cuti umum, bersorak riang melihat percikan bunga api sejurus jam menunjukkan 12 tengah malam, menonton tayangan dokumentari, filem dan drama di television yang berkisar tentang perjuangan dan kemerdekaan, dan retorik menyambut hari merdeka sebagai hari yang penuh bersejarah dan dihayati, malah peranan kita adalah lebih daripada itu dan sentiasa berlangsung.

Baharui tekad, angkat martabat bangsa

Sewajarnya, tarikh 31 Ogos dan 16 September setiap tahun disambut dengan cara memperbaharui tekad dan iltizam untuk menyambung usaha wira-wira terdahulu yang mahu mengangkat martabat bangsa kerana inilah hikmah kemerdekaan iaitu nasib bangsa semakin lama semakin baik.

Selain itu, kita juga harus mempunyai rasa dan pendirian untuk bersatu atas nama bangsa Malaysia di samping mengetepikan dan mengelakkan sikap dan mentaliti prejudis antara sesama kaum dengan kaedah toleransi yang bersikap. Keupayaan ini hanya mampu dilaksanakan dan dikoordinasi menerusi suri teladan dan pendidikan yang berkesan bermula daripada institusi keluarga, masyarakat, negara dan pemimpin kerana inilah nadi dan tenaga penggerak utama pembangunan negara dan pemupukan budaya perpaduan demi kelangsungan kemerdekaan bangsa dan negara.

Namun politik terus membelenggu sosial, agama, dan ekonomi negara ini sehingga tahun merdeka yang ke-63 akan datang.

“Bukan kecil tugas kita, meneruskan perjuangan kemerdekaan kita, kerana rupanya selain kemerdekaan, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

“Sesungguhnya, segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu”, Tun Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.

“Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah”, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

— BERNAMA

Mohamad Fhaizal Mohamad Bukhori merupakan Pensyarah Biologi Pra-Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat