Insan terpilih makmurkan masjid

- Advertisement -
Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa pemulihan yang memperlihatkan banyak sektor dibuka termasuk masjid yang sunyi daripada kunjungan makmum hampir tiga bulan lamanya.

Ternyata kerinduan terhadap masjid ini mula membuak-buak dalam diri setiap Muslim khususnya melibatkan solat Jumaat.

Perkongsian daripada netizen di media sosial tidak dapat lari daripada persoalan, bilakah masjid akan dibuka? Namun hanya insan bertuah sahaja yang Allah terpilih untuk kembali ke rumah-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat berkenaan) maka diharapkan mereka menjadi daripada golongan mendapat petunjuk. (Surah al-Taubah ayat 18)

Minggu ini memperlihatkan banyak masjid dibuka dengan kapasiti lebih ramai bergantung kepada keluasan ruangan solat yang disediakan. Dengan penjarakan 1 meter, pasti jumlah jemaah satu-satu masa khususnya solat Jumaat akan dihadkan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Insan terpilih ini ditentukan Allah SWT melalui amalan sebelum ini. Apabila masjid ditutup, mereka berusaha menghidupkan solat jemaah bersama ahli keluarga di rumah. Dan apabila masjid kembali dibuka, Allah permudah langkah kaki mereka ke masjid.

Hasil tarbiah di masjid menyaksikan rumah kediaman mula subur dengan amalan solat berjemaah dan tazkirah yang memberi ruang kepada ketua keluarga menyampaikan sesuatu yang diperoleh sepanjang kehadiran mereka ke masjid sebelum ini. Ternyata masjid yang diimarahkan memberi impak yang positif khususnya dalam tempoh PKP yang berlanjutan sehingga kepada pemulihan pada hari ini.

Syeikh al-Tantawi menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Rujuk Tafsir al-Wasit, 6/228)

Maka jelaslah, mereka yang dapat hadir ke masjid ini yang telah dipilih Allah SWT atas keimanan dan ketakwaan berpanjangan kepada-Nya.

Justeru, dengan keadaan masjid kembali dibuka, marilah sama-sama kita berazam menjadi salah seorang insan yang terpilih untuk memakmurkan rumah Allah ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat