KUALA LUMPUR – Kerjasama politik sesama parti Kerajaan Perpaduan hanya berlaku di peringkat Persekutuan namun ia tidak diterjemahkan di peringkat akar umbi.
Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Razlan Rafii menegaskan bahawa tiada kebersamaan di peringkat parti kerana hanya satu parti membolot jawatan kemasyarakatan.
Razlan berkata demikian mengulas hantaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkongsi hubungan akrabnya dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang merupakan satu-satunya Ahli Parlimen Umno di Kuala Lumpur.
“Kan lebih elok dan manis sekira perkara seperti ini juga dilaksanakan diperingkat pimpinan akar umbi. Diberi ruang kebersamaan, ada ruang perjumpaan dan mesyuarat bersama-sama. Berkenalan satu sama lain.
“Namun ini tak berlaku di Wilayah Persekutuan. Selama 3 tahun, tidak ada mesyuarat dilakukan. Tidak ada penghormatan oleh Menteri Wilayah untuk menjemput pimpinan bertukar pandangan.
“Malah Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) atas usaha Perdana Menteri meletakan syarat untuk semua parti di peringkat akar umbi bekerjasama tidak di ikuti dan dipatuhi oleh Menteri Wilayah.
“Bila rakyat di bawah dipamerkan kerjasama di antara parti, bersinsing lengan gotong royong besama-sama, rakyat akan rasa selesa, tenang dan tidak akan dilaga-lagakan dek kerana politik,” katanya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu.
Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau bukan hendak mencari salah, tetapi kena ikhlas dalam kerjasama, kena tunjukkan keikhlasan itu, kena usaha ke arah itu.
“Rakyat di bawah mahukan usaha yang memberi mereka keselesaan, ketenangan melihat kerjasama pimpinan mereka, jangan kita hidangkan kepada rakyat mesej yang salah.
“Di atas bersama namun di bawah tidak nampak kebersamaan itu disebabkan hanya satu parti membolot jawatan kemasyarakatan. Sekadar pandangan ikhlas,” katanya.



