Pas banyak korbankan kerusi kepada Bersatu yang rakus – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan parti Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain.

Sehinggakan, Pas terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi, dedah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Namun begitu katanya, ia memberikan kemenangan besar kepada Pas sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

Selain itu kata Hadi, Pas juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada Pas.

“Inilah berkat beristiqamah dengan pertolongan Allah kerana keikhlasan para pejuangnya, walaupun terpaksa menanggung bebanan masalah daripada pihak yang lain,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Khamis.

Ahli Parlimen Marang itu menyatakan, Pas mengadakan kerjasama dengan pelbagai nama dan pendekatan dalam Islam seperti tahaluf, isti‘anah, muwalah, ta‘awun dan lain-lain.

“Adapun kerjasama Pas yang terakhir adalah melalui ta‘awun siyasi, yang merupakan bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Parti Bersatu dan lain-lain bagi mengambil alih kerajaan menggunakan akuan berkanun (SD).

“Langkah ini melalui proses yang betul, bukan yang dinamakan Langkah Sheraton yang pendek, yang kemudiannya diambil peluang oleh kalangan tertentu bagi menonjolkan diri seseorang.

“Apabila parti Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, bukan tujuan asalnya demi perpaduan umat tetapi ingin menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam tanpa mengira kedudukan Islam berkuasa dan mengira Melayu bumiputera yang menguasai.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan Pas yang meneroka perubahan politik dan membodohkan Pas dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” ungkap beliau.

Di samping itu, Hadi mendakwa Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.

“Ternyata apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri.

“Malah, berlaku krisis dalaman yang parah dalam parti Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar Ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama Pas yang dikenali oleh Pas telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti. Apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) dan menjatuhkan maruahnya.

“Hal ini termasuklah langkah yang tidak setia kawan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pas di Perlis sehingga menjatuhkan Menteri Besarnya,” kata Hadi.

Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi, dedah Presiden Pas itu lagi.

Menurut Hadi, langkah oportunis pemimpinnya menganggu perjuangan asal penyatuan ummah.

“Maka, Pas wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip.

“Pas menyelami keadaan yang salah dan cuba membuat pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah dan menegur perangai yang salah dalam mesyuarat melalui pertemuan khusus dan pertemuan peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, Pas terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri,” ujar beliau.

Kata Hadi lagi, dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya Pas tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan.

“Akhirnya, Majlis Syura Ulamak, para ilmuwan dan pengamat politik ditugaskan supaya melakukan muhasabah, tabayyun dan kajian terperinci khususnya dari segi dasar hukum syariat dan maslahat politik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat