Zeti Cuti Sakit Akibat Demam Panas, Tidak Dapat Hadir Perbicaraan 1MDB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu saksi utama dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Razak, bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak dapat hadir memberi keterangan esok kerana cuti sakit selama dua hari.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa saksi yang dinanti-nantikan dalam perbicaraan itu mendapat cuti sakit akibat demam panas, vertigo dan muntah.

“Saya menerima pesanan teks daripada pegawai penyiasat (IO) sekitar 11.56 pagi ini memaklumkan bahawa Tan Sri Zeti yang sebelum ini saya maklumkan akan datang esok, telah memaklumkan melalui peguamnya kepada IO bahawa beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” kata Ahmad Ikram.

Hakim Sequerah menyatakan beliau perlu melihat sijil sakit itu dan Ahmad Akram berkata beliau akan menyerahkan kepada mahkamah.

TPR juga memberitahu mahkamah seorang lagi saksi yang tinggal dan bekerja di Singapura hanya boleh memberi keterangan pada awal Disember dan pihak pendakwaan telah mengatur supaya saksi pendakwaan ke-42, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dipanggil memberi keterangan esok untuk pemeriksaan balas.

Bulan lalu, pihak pendakwaan berkata akan memanggil Zeti sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan itu selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan soalan terhadap saksi pendakwaan ke-39, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Zeti.

Mahkamah hari ini juga meneruskan pendengaran penghujahan Muhammad Shafee yang beliau berkata rakaman audio perbualan yang didakwa antara bekas perdana menteri itu dan seorang pemimpin dari Timur Tengah tidak diperoleh secara sah mengikut Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bukti yang dipersoalkan berkaitan empat rakaman audio perbualan telefon serta transkrip antara Najib dan beberapa individu terkemuka lain, yang Seksyen 43 terpakai.

“Ini telah menyebabkan Datuk Seri Najib, selain tidak mengetahui identiti individu yang telah membenarkan pemintasan komunikasi yang dimandatkan di bawah Seksyen 43, beliau juga ditinggalkan tanpa sebarang pengetahuan kerana tidak mengetahui kandungan rakaman lain,” katanya.

Bagaimanapun Hakim Sequerah mencelah, mengatakan bahawa pihak pendakwaan masih belum mengemukakan bagaimana rakaman itu diperoleh.

Muhammad Shafee berkata beliau akan terkejut sekiranya pihak pendakwaan bersedia menyatakan sumbernya secara jelas kerana ia akan mendedahkan negara ini dari segi perisikan cawangan khas dan merakam perbualan individu.

“Individu yang merakam audio itu harus datang ke sini untuk mengenal pasti audio itu…tetapi saya tidak fikir dia akan datang kerana ia akan menjadi pengakuan kerana dia melakukan sesuatu yang tidak betul,” hujah Muhammad Shafee.

Ahmad Akram dalam jawapannya berkata IO dari SPRM akan dipanggil pada perbicaraan itu untuk mengenal pasti rakaman audio berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Akram memberitahu mahkamah bahawa Timbalan Pendakwa Raya utama Datuk Seri Gopal Sri Ram mendapat cuti sakit tiga hari berikutan demam dan jangkitan sehubungan itu TPR kanan akan menjawab hujahan Muhammad Shafee mengenai rakaman audio itu pada hari lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat