Jho Low Kerap Mengunjungi Kediaman Zeti – Shafee

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, didakwa kerap kali mengunjungi kediaman bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau mendapat tahu mengenai kehadiran Jho Low di rumah Zeti daripada sumber yang boleh dipercayai, ketika menyoal balas saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang.

Pada ketika itu, Muhammad Shafee bertanyakan kepada Teck Kuang sama ada beliau pernah melihat Jho Low di kediaman terbabit.

Teck Kuang sebelum itu ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, memberitahu mahkamah beliau hanya sekali berkunjung ke kediaman Zeti pada majlis sambutan Hari Raya.

Ketika disoal sama ada pernah melihat Jho Low di rumah itu, saksi menjawab, “tidak, tidak.”

Muhammad Shafee: Adakah kamu pasti?

Teck Kuang: Sangat pasti.

Muhammad Shafee: Ok. Saya tanya kamu kerana mencadangkan dan saya mendapat maklumat berserta bukti bahawa Jho Low kerap mengunjungi kediaman Zeti. Adakah kamu tahu mengenai perkara ini?

Teck Kuang: Saya tidak tahu langsung.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian bangun dan memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil Zeti untuk memberikan keterangan.

“Kami akan memanggil Zeti (untuk memberikan keterangan). Jadi, persoalan ini boleh dibangkitkan kepadanya. Beliau (Zeti) ada jawapannya. Kami akan panggil dia,” katanya.

Minggu lalu, Teck Kuang memberitahu Mahkamah Tinggi, Zeti mengetahui akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.

Beliau berkata, dalam pertemuan rahsia empat mata dengan Zeti, beliau (Zeti) mengambil maklum mengenai perkara itu dan memintanya supaya ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Katanya, mereka berdua sahaja berbincang mengenai pembukaan akaun Najib di Ambank dan penerimaan wang daripada Arab Saudi kerana ia rahsia dan membabitkan kepentingan Perdana Menteri.

Teck Kuang memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat