USD1 Bilion Wang 1MDB Dipindah Keluar Negara Selepas Sogok Suami Gabenor BNM – Tin Leissner

- Advertisement -

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana, bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat.

Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya adalah Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang dia dengar tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pemindahan itu.

“Malaysia pada 2009 masih mempunyai kawalan modal dan pelaburan sebesar itu harus mendapat kelulusan Bank Negara,” katanya tentang wang keluar itu.

“Satu bilion dolar dihantar dari Malaysia kepada usahasama itu dan pemindahan itu boleh berlaku kerana suami kepada gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

“Jadi dalam tempoh semalaman wang itu dipindahkan, ia sesuatu yang pada ketika itu tidak pernah berlaku dahulu. BNM tak pernah memberikan kelulusan sebegitu cepat,” katanya.

Pada November, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura membabitkan akaun syarikat milik suami Zeti dan individu bernama Samuel Goh.

Suami Zeti, dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB itu, menurut akuan berkanun yang ditandatangani pada Mac 2019.

Wang itu berada dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan mereka bertiga mengakui merupakan pemilik akaun itu.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

FMT sedang berusaha mendapatkan komen Tawfiq. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat