Agong Titah GPS Pertimbang Sertai Kerajaan Perpaduan – Fadillah

- Advertisement -

KUCHING – Pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah akan akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan sebuah Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang telah dititah baginda sebelum ini.

Namun dalam masa yang sama, GPS masih kekal dengan pilihan pakatan politik yang dinyatakan parti itu sebelum ini iaitu kerajaan gabungan melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata hasil pertemuan dengan baginda telahpun dikongsikan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk perbincangan lanjut.

“Jadi tadi kita sudah pun memberi taklimat kepada yang amat berhormat Premier kita dan seperti mana yang telah diputuskan melalui kenyataan GPS memang berhasrat dari segi sokongannya, kalau dapat menubuhkan kerajaan bersama beberapa parti.

“Tetapi dalam dalam masa yang sama kita juga akan patuh kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh Baginda Tuanku, dan Premier juga masih dengan jawapan yang sama, apa yang penting kita (GPS) akan akur kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen GPS yang telah menghadap Yang di-Pertuan Agong melakukan perjumpaan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di DUN Sarawak.

Tambah MP Petra Jaya itu, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, baginda tidak meminta mereka untuk menyerahkan nama calon Perdana Menteri malah hanya mahu mendengar pandangan serta buah fikiran daripada pihak GPS.

Jelasnya, baginda turut bertitah agar GPS mempertimbangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15.

“Baginda telah memberi nasihat, hasratnya dalam keadaan tidak ada seorang pun yang mendapat majoriti mudah sokongan menjadi Perdana Menteri, maka baginda berhasrat kalau dapat untuk kita (GPS) berbincang mempertimbangkan sama ada boleh ditubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Dan sebab itulah Tuanku memberi nasihat serta pandangan Baginda mengapa perlu adanya diwujudkan Kerajaan Perpaduan, jadi saya tadi tidak dapat membuat keputusan, kita mendengar pandangan Tuanku dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS,” katanya lagi. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat