Najib Mohon Mahkamah Masukkan Bukti Baru Berkaitan Zeti dan Keluarga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Seri Najib Razak memohon Mahkamah Persekutuan melapangkan tarikh pendengaran permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi bekas perdana menteri itu.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya adalah membabitkan dakwaan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Sebelum ini mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 15 Mac ini untuk mendengar permohonan itu, bagaimanapun peguam Najib memohon ia dilapangkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan rekod rayuan tambahan.

Dokumen tambahan itu membabitkan semua nota, keterangan dan dokumen daripada mahkamah tinggi yang diperlukan bagi menyediakan hujahan bertulis.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media, berkata mahkamah belum memberi kata putus berhubung permohonan itu dan akan memaklumkan dalam tempoh beberapa hari kepada semua pihak.

Sementara itu, katanya mahkamah menetapkan pada 8 April depan bagi peguam Najib memaklumkan tarikh permohonan untuk menerima masuk peguam kanan (QC) dari United Kingdom (UK) bagi mewakilinya dalam rayuan akhir.

Katanya, tarikh berkenaan ditetapkan dalam prosiding pengurusan kes melalui aplikasi Zoom yang turut dihadiri peguam Harvinderjit Singh dan Syahirah Hanapiah mewakili Najib di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Hajar Mustaffa.

Pada 7 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu selepas mendapati beliau gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Najib memfailkan notis usul pada 2 Disember tahun lalu dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan panel hakim bagi keputusan.

Sehari selepas itu, panel sama menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana SRC International.

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan viva voce (lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Rosli adalah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes itu di mahkamah tinggi manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan.

Najib dalam afidavit sokongannya berkata, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan berkaitan pembabitan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaan sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Najib mendakwa, keterangan baharu itu sekiranya tidak ‘disorok’ oleh Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan juga pendakwaan, boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat