Kerajaan mula langkah selamatkan projek LCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan memulakan langkah menyelamatkan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM11.2 bilion yang telah menjadi kontroversi sejak sedekad yang lalu kerana kegagalan menyiapkannya.

Menurut laporan Bernama, Ocean Sunshine Bhd (OSB) syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) telah membeli 20.77 peratus saham milik Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), pemaju projek LCS, dari Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dengan harga RM1.

Pada Mei lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Kementerian Kewangan telah mewujudkan syarikat bertujuan khas (SPV) untuk mengambil alih BNS.

“Ini perlu untuk kita memastikan supaya hasrat kita bagi meneruskan pembinaan LCS ini dapat dicapai dan berjaya seperti yang dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia,” kata beliau pada waktu itu.

Susulan penjualan itu, Boustead Holdings Bhd akan memiliki 68.85 peratus kepentingan dalam BNS, dikuti oleh OSB 20.77 peratus kepentingan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera mempunyai 10.38 peratus kepentingan. Kementerian Kewangan juga memiliki satu saham khas (golden share) dalam BNS yang membolehkan kerajaan mempunyai kuasa pemutus.

BNS, yang terlibat dalam pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal-kapal tentera laut, merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM150.12 juta dan liabiliti bersih RM848.45 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022.

Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata selain memudahkan keputusan kerajaan untuk mengambil alih BNS, cadangan pelupusan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula organisasi dan operasi kumpulan untuk menyelaras dan menjajarkan semula entiti dalam syarikat dan anak-anak syarikatnya yang berkaitan.

BHIC menganggap pelupusan sahamnya kepada OSB akan membolehkan BNS dapat menyiapkan pembinaan dan penghantaran LCS kepada TLDM dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut kontrak LCS.

Selain itu, BHIC berkata kehadiran OSB sebagai pemegang saham strategik baharu adalah selaras dengan rancangan BNS untuk mengukuhkan perniagaan dan operasinya berhubung pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal-kapal tentera laut dan pembinaan kapal komersial.

Tertakluk kepada semua kelulusan yang perlu diperoleh, cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku keempat 2023.

Setakat ini kurang jelas sama ada OSB akan mengambil alih seratus peratus saham BNS seperti mana pengumuman Menteri Pertahanan.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat