Midnight Fusic belum puas

- Advertisement -

TEGUH melakar nama dalam pasaran muzik Inggeris tempatan, kumpulan Midnight Fusic enggan terperuk dalam zon selesa.

Justeru, mereka tampil mencabar diri cuba keluar dari zon itu dengan melancarkan lagu bahasa Melayu berjudul Sandiwara.

Dianggotai Arif Kamarudin selaku penyayi, Adrian Danial (gitar utama), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram), mereka tidak menafikan proses menghasilkan lagu Melayu ada cabarannya.

Menurut Arif, kepuasan itulah yang dicari dalam berkarya iaitu sentiasa menguji laras kemampuan mereka.

Tidak menafikan proses mengerah keringat agak sukar, bagaimanapun mereka seronok apabila kualiti hasil akhirnya setimpal.

“Ketika kali pertama mendengar rakaman asal lagu itu, ia sudah kedengaran cukup sempurna. Tiada apa perlu ditukar dan kami terus merakamnya. Sewaktu rakaman, kami cuma tambah sedikit idea dan setiap ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing.

“Tak ada sangat bahagian yang nak katakan mencabar. Namun, dari segi rakaman, bahagian suara falsetto dalam korus itu agak susah. Begitu juga rakaman gitar bass Daus, ada beberapa bahagian yang agak mencabar juga.

“Kalau nak bandingkan rakaman Sandiwara dan lagu-lagu Inggeris kami, proses penulisannya tidak banyak berbeza. Tapi ketika kami rakam lagu itu, perasaannya sangat istimewa dan boleh dikatakan antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

Menerusi Sandiwara, Midnight Fusic bergabung idea dengan rakan karib mereka dari Indonesia iaitu kumpulan Pijar. Ternyata kumpulan itu banyak membantu memudahkan proses itu dan impian mereka jadi kenyataan untuk hasilkan lagu Melayu yang memuaskan.

“Kami sudah lama menyimpan impian ingin mengeluarkan lagu Melayu dan Pijar berjaya membuatkan proses pembikinannya lebih lancar. Sandiwara dihasilkan dalam masa satu hari dan dicipta Jack Alfredo yang juga anggota Pijar.

“Memandangkan ini lagu bahasa Melayu pertama kami, mesej yang ingin kami sampaikan adalah kegembiraan dalam hidup. Ia juga mengingatkan kami kepada persahabatan terjalin bersama Pijar,” katanya.

Berkongsi lanjut, Midnight Fusic berkata, kelebihan Sandiwara terletak pada melodinya yang mesra telinga dan menenangkan. Paling penting, pendengar juga bebas membuat tafsiran sendiri terhadapnya mengikut emosi mereka.

“Sandiwara adalah lagu yang sudah tentunya mampu membuat pendengar tersenyum dan membawa  perasaan gembira kepada mereka. Tidak dilupakan, Dennis Ferdinand turut menyumbang vokal tambahan.

“Kemasukan vokalnya itu sekali gus memberikan membawa nafas dan semangat baru terhadap Sandiwara. Semestinya kami harapkan pendengar mudah terbuai dengan lagu ini dan menjadikannya lagu yang menenangkan hati,” katanya.

Midnight Fusic adalah kumpulan rock alternatif dari Kuala Lumpur yang berjaya mencipta nama sejak 2017.

Berbekalkan beberapa lagu Inggeris, mereka turut berpeluang membuat persembahan di pentas festival muzik antarabangsa di Indonesia dan Singapura.

Lagu mereka berjudul Lovesick juga mendapat sambutan luar biasa dan mendapat penstriman lebih sejuta di pelbagai platform muzik terkenal. Pada 2018, mereka menjadi artis pertama dari Malaysia dan Singapura dipilih dalam program Deezer Next 2018 anjuran syarikat penstriman Deezer yang berpangkalan di Paris, Perancis.

Harian Metro

Previous article
Next article
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat