Dahsyatnya fitnah kuasa

- Advertisement -
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

FITNAH tahkta dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah kekuasaan adalah fitnah terdahsyat terhadap umat Nabi SAW. Hadis daripada Thauban RA, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya:  “Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini para pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis  Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis  lain, daripada Abu Zar RA, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW  bersabda maksudnya: Ketika aku bersama Nabi SAW  pada satu hari ke rumahnya, aku mendengar Baginda berkata: “Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku daripada Dajjal.” Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: ‘Apakah yang lebih engkau khuatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: ‘Para pemimpin yang menyesatkan orang lain.'” (Hadis  Riwayat Ahmad)

Kedua-dua hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW  iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW  menyebut pada hadis pertama dengan pola pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan.

Pada hadis  kedua, Nabi SAW  menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi daripada fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang berkembang serta tempohnya lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan yang meliputi zaman.

Di antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi)

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka dia akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh daripada Allah.” (Hadis  Riwayat Abu Daud)

Gambaran utama dalam hadis ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang yang dekat kepada mereka atau menjadi orang yang mengetuk pintu-pintu pejabat atau rumah mereka merupakan sumber kepada terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah yang berbahaya kepada Islam. Namun, sekiranya dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia.

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT  menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah tahkta dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah takhta dan kedudukan ini antara ujian besar menimpa umat Nabi SAW  terutama apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperoleh pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.

Pelantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang sudah diperoleh.

Kebiasaan yang berlaku, di awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah petugas yang memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya.” (Hadis Riwayat  Muslim)

Rasulullah SAW  bersabda kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah:  “Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau jawatan lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)

Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas yang diidamkan itu dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong ketua atau pemimpin yang dilantik sebulat suara dan dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” (Hadis Riwayat  Muslim)

Berkenaan keperluan kepada kepemimpinan, Nabi SAW bersabda  maksudnya:  “Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi selepasku, namun akan ada ramai para khilafah.” (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi apabila wafatnya seorang Nabi, akan diganti dengan Nabi yang lain yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka.”

Sabda Baginda Nabi SAW maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis  Riwayat Imam Ahmad)

Justeru itu, tahkta dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan tersebut diperoleh dengan meletakkan agama sebagai panduan, maka bantuan Allah akan menyusulinya.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat