Alat penyembur nano boleh bunuh virus tapi tak sesuai disembur langsung ke atas manusia -KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan beberapa larutan disinfeksi yang mengandungi alkohol antara 70 hingga 90 peratus mampu membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan namun ia tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana, sesetengah larutan disinfeksi berkenaan boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

“Selain larutan yang mengandungi alkohol, beberapa larutan seperti hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia serta larutan berasaskan klorin turut berkesan membunuh virus berkenaan.

“Namun Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist spray (alat penyembur nano) tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.

“Untuk makluman, pada masa ini pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui https://www.npra.gov.my/images/Guidelines_Central/surface_disinfectant/R…,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Alat penyembur nano adalah satu alatan semburan yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano dan ia dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuklah kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.

Ia terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti ‘spray gun’, ‘handheld spray’ sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihak kementerian mengambil maklum mengenai isu yang dibangkitkan berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan alat penyembur nano sebagai alat disinfeksi.

“Alat penyembur ini mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan COVID-19. Ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara (airborne) dan juga di permukaan.

“Bagaimanapun, keberkesanan penggunaan alat penyembur nano ini untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat berkenaan untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat