PH tiada perancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor, Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perancangan untuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, sebaliknya, fokus ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan PH sendiri dalam menghadapi sebarang kemungkinan politik selepas pilihan raya tersebut.

“Setakat ini tidak ada apa-apa rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya lapor Utusan di Parit Buntar.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra Madani bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.

Menurutnya, Amanah yakin akan diberikan kerusi yang berpotensi untuk dimenangi parti itu pada PRN selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan dalam PH.

Katanya, perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam PH kini hampir selesai dan akan diumumkan oleh kepimpinan gabungan itu dalam masa terdekat.

Jelasnya, rundingan antara parti-parti komponen PH berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

“Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dalam menghadapi PRN.

“Yang penting adalah kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dan pembahagian kerusi bukan isu utama kerana perkara itu akan diputuskan secara bersama oleh kepimpinan PH,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran Amanah pada PRN, beliau berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada kerusi yang mempunyai peluang kemenangan terbaik.

“Kita fokus kepada kerusi yang boleh menang. Insya-Allah, jumlahnya sudah ada, ia akan diumumkan oleh PH,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat