Jika dulu Anwar kata SOSMA zalim, sama juga Pas jadi kerajaan tak sebut langsung soal Hudud – Saifuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas pembangkang yang mempertikai keputusan kerajaan menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan membangkitkan pendirian berbeza PKR terhadap undang-undang itu suatu ketika dulu.

Mempertahankan komitmen kerajaan untuk mempertahankan prinsip nyawa dan ketenteraman awam melalui SOSMA di Dewan Rakyat, Saifuddin menyifatkan Pas turut mempunyai pendirian berbeza dalam memperjuangkan sesuatu dasar serta peraturan sebelum dan selepas berada dalam kerajaan.

Beliau merujuk perjuangan Pas yang sebelum ini mahu melaksanakan hukuman Hudud, namun usaha ke arah itu dilihat gagal dilaksanakan ketika parti itu berada dalam kerajaan selama 33 bulan sebelum ini.

Saifuddin turut mempersoal sama ada komitmen Pas untuk menegakkan negara Islam melalui pelaksanaan hukuman Hudud sudah berubah ketika itu.

“Tanggungjawab kerajaan adalah memberikan keutamaan kepada perkara ini (SOSMA). Ini adalah penegasan yang kita buat.

“Kalau soal diungkit dulu Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) membuat kenyataan kata ini (SOSMA) kejam, zalim yang diambil sebagai satu kenyataan dan hari ini tidak dibuat (pemansuhan).

“Serupalah sebelah sana (pembangkang). Dulu (pendirian Pas) negara Islam, Hudud ini nyawa kami. Namun 33 bulan berkuasa satu akta (berkaitan hudud) pun tidak dibentang dalam Dewan ini. Saya boleh sebut yang sama,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, lapor BH.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit mencelah dalam sesi penggulungan itu dengan menyebut beberapa fakta menunjukkan bahawa PKR pernah menolak SOSMA sebelum menjadi kerajaan.

Takiyuddin turut menyebut kenyataan Anwar yang ketika itu menjawat Ketua Umum PKR pada 2018 bahawa tahanan SOSMA mendapat layanan teruk dalam penjara berbanding tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika penjelasan Saifuddin dibuat berhubung perkara itu, beberapa Ahli Parlimen dari PN turut bangkit mempersoal kaitan SOSMA dan Hudud.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mahu Saifuddin memfokuskan pada isu SOSMA dan bukannya memberikan penjelasan bersifat politik.

Saifuddin kemudian berkata jawapan politik itu diberikan kerana soalan yang diutarakan pihak pembangkang juga bersifat politik.

“Saya boleh tanya adakah Pas sudah menggugurkan cita-cita untuk melaksanakan Hudud…dia tidak akan kata gugurkan.

“Isunya adalah apakah kita bersedia kekalkan prinsip keadilan. Dalam soal ini SOSMA ada kaitannya dengan nyawa dan ketenteraman awam. Komitmen kerajaan tidak berubah untuk mempertahankan keutamaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA yang dilanjutkan dalam tempoh lima tahun sejak 2022 akan berakhir 2027.

Pada 2027 nanti, katanya usul pelanjutan penguatkuasaan itu perlu dibawa lagi ke Dewan Rakyat untuk sesi undian.

“Itu ‘sunset clause’ maknanya pemakaian SOSMA bukan sewenang-wenangnya kena diperbaharui lesennya setiap lima tahun dan di sinilah kita buat kerja itu,” katanya.

Pada Julai 2012, Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun lagi, apabila 111 Ahli Parlimen mengundi menyokong, 88 mengundi menentang, manakala 21 lagi tidak hadir.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat