MUDA belum tahu tanding kerusi mana, mohon PH segerakan rundingan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memohon agar Pakatan Harapan (PH) menyegerakan rundingan kerusi secara rasmi bagi memudahkan proses pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz memaklumkan buat masa ini belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan antara PH dan MUDA meskipun sebelum ini PH telah bersetuju untuk adakan Pakatan Pilihan Raya (Electoral Pact).

“Ada yang tanya, “MUDA akan tanding kerusi mana?”. Jujur saya sebut di sini, rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

“Sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk berjumpa dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH dan adakan rundingan secara rasmi dalam masa terdekat. Namun masih belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan.

“Kami juga dimaklumkan bahawa pengumuman agihan kerusi akan diadakan pada masa yang terdekat. Jika bergerak dalam sebuah gabungan, MUDA akan pastikan prinsip sandangan sedia ada (incumbency) digunapakai untuk merunding kerusi. Sudah tentu juga, kerusi perlu diagih adil dan saksama,” tegas Timbalan Presiden MUDA itu dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru kata Amira Aisya, MUDA ingin satu rundingan rasmi bersama Majlis Presiden PH diadakan dan dimuktamadkan dengan segera agar dapat menghadapi pilihan raya dengan sebulat tekad dan suara.

ADUN Puteri Wangsa itu juga mengimbas kronologi yang berlaku yang membawa kepada situasi hari ini, pada 6 September lepas, MUDA telah adakan satu ketetapan bahawa MUDA mahu bergerak bersama PH.

Beliau berkata, ideanya supaya pembangkang dapat bergerak dalam satu gabungan, mengelakkan pertindihan kerusi dan sama-sama fokus menghadapi PRU15.

“Pada 30 September, pimpinan MUDA telah adakan pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan PH untuk membincangkan gabungan PH+MUDA ini.
Tiga terma dan syarat telah dibentangkan. Apa terma dan syaratnya? Pertama adalah untuk bersetuju dengan calon Perdana Menteri Majlis Presiden PH.

“Kedua adalah untuk pastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi sandangan sedia ada (incumbency). Dan ketiga adalah sekiranya MUDA ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun koalisi lain, MUDA perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH. MUDA bersetuju dengan ketiga-tiga syarat tersebut,” jelas Amira Aisya.

Susulan itu katanya, pada 12 Oktober, PH memutuskan untuk adakan Pakatan Pilihan Raya (Electoral Pact) kerana hal-hal teknikal seperti kelulusan ROS dan sebagainya.

“MUDA setuju. Bagi MUDA, fokus paling utama adalah bergerak bersama dalam PRU15.

“MUDA juga berharap agar sebagai sebuah pakatan pilihan raya, MUDA dapat berunding dengan baik dan tertib dengan PH. Semangat setiakawan dan kesaksamaan sebagai landasan rundingan,” ujar beliau.

Tambahnya, fokus pilihan raya ini bagi MUDA adalah untuk memberi tawaran terbaik kepada rakyat dalam melawan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

“MUDA ingin kedepankan calon-calon yang berwibawa supaya rakyat tak perlu memilih yang terbaik antara dua kejahatan.

“Rakyat berhak memilih wakil rakyat yang benar benar adil, tekun bekerja dan punyai semangat berkhidmat untuk rakyat. Kita wajib kembalikan maruah negara ke tangan rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat