Semua Parti Takut PRU15, Tak Yakin Menang – Musa Hitam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiada satu pun gabungan parti dilihat benar-benar yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Tun Musa Hitam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati semua parti mengambil sikap berhati-hati dan tidak yakin nasib parti.

“Pada saya semuanya (parti) takut dan tidak tahu kemungkinan bakal berlaku. Ia berikutan keadaan politik negara yang berada dalam kecelaruan malah rakyat juga menjadi celaru dan keliru.

“Keadaan sekarang ini, setiap parti pun tidak begitu pasti apa hasilnya (PRU15) dan bagaimana rakyat akan buat pilihan nanti.

“Semua parti juga saya lihat masih ambil sikap tunggu dan lihat. Selepas keputusan PRU-15 barulah mereka akan mengorak langkah masing-masing.

“Namun apa yang menjadi kerisauan saya, pada pendapat saya Umno tidak akan mampu tubuhkan kerajaan dan mungkin jadi minoriti selepas ini, ” katanya lapor BH di Johor pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor.

Turut hadir Yang Dipertua MUBARAK Johor, Datuk Abdullah Md Ali dan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Dalam pada itu, Musa yang juga bekas Timbalan Presiden Umno berkata, konsep khemah besar yang disarankan segelintir pimpinan politik masih tidak diterima hampir kesemua gabungan politik negara buat masa ini.

Katanya, konsep itu agak kontroversi dengan semua parti dilihat enggan pada idea perkongsian kuasa dan pembahagian kerusi yang dimiliki.

“Hasil PRU15 ini sangat menarik untuk kita lihat namun saya jangkakan lebih banyak kesan negatif akan timbul daripada tiada satu pun parti yang mampu menjadi dominan,” katanya.

Musa juga berkata Umno kini dilihat sedang menghadapi dilema dan krisis kepimpinan paling buruk pernah dihadapi parti itu.

“Saya ingin mengingatkan semua dalam Umno kita harus sedar hakikat daripada sebuah parti politik yang penuh semangat nasionalisme, kini budaya baharu parti telah bertukar kepada nafsu materialisme, kekayaan dan kepentingan individu semata-mata.

“Kepentingan masyarakat kini tenggelam dan tidak menjadi keutamaan lagi. Umno juga sedang menghadapi krisis kepimpinan… yang tak pernah dihadapinya,” katanya.

Oleh itu, Musa berpendapat, ahli Umno harus bangkit menentukan arah tuju parti itu selepas ini.

Katanya, ahli parti tidak boleh lagi mendiamkan diri untuk menyelamatkan kedudukan masing-masing.

“Jika kita tak buat sesuatu dan tak pandai memilih, hanya guna emosi dan sentimen sahaja atau kita terus guna kekayaan dan wang demi meraih kuasa macam dulu.
“Maka akan habislah hayat dan riwayat UMNO selepas ditolak rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat