Kenal Siapa Kawan Siapa Lawan, Elak Tembak Kaki Sendiri – PM

- Advertisement -

BANDAR BAHARU – Pada program solidariti Barisan Nasional (BN) di Kedah hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghantar mesej kepada ahli-ahli BN, untuk sedar dan kenal ‘siapa lawan dan kawan’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar jelas siapa yang perlu ditentang.

Dengan mengenal pasti lawan BN untuk PRU15 yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata serangan seharusnya dihalakan ke arah pihak lawan dan bukannya ‘tembak kaki sendiri’.

“Jangan tembak kaki sendiri, kita dah tahu nak lawan siapa…serang mereka,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat negeri Kedah di Dataran Serdang, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, selain pemimpin-pemimpin komponen BN serta masyarakat setempat.

Ismail Sabri berkata segala faedah ke atas rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2023, sebaiknya digunakan ahli-ahli BN sebagai bahan untuk menghadapi PRU15.

“Beritahu kepada rakyat, tak lama lagi manifesto parti-parti lain akan keluar…tetapi manifesto hanya janji, jangan sampai dua kali kena tipu,” katanya.

Ismail Sabri pada program itu memuji sifat ‘jiwa besar’ Ahmad Zahid, yang mengumumkan beliau sebagai perdana menteri selepas PRU15 serta mengajak ahli-ahli BN, terutama di peringkat pemimpin dan bakal calon PRU15 untuk turut mencontohi sifat sama.

“Kita kena berjiwa besar, saya nak beritahu orang paling berjiwa besar ialah presiden (Ahmad Zahid). Apabila saya jadi perdana menteri dia sokong, baru-baru ini dia umum calon perdana menteri ialah Ismail Sabri, (ini) datang dari mulut presiden kita, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Ismail Sabri mengakui pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN dan parti-parti mesra BN (Friends of BN) bukannya perkara mudah, terutama di negeri yang mana Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan seperti di Kedah.

“Kalau ada satu Parlimen, dua DUN bolehlah bahagi-bahagi, tetapi di Kedah ini, DUN belum dibubarkan. Bila belum bubar, kita boleh janji kau nanti akan dapat DUN, tetapi tak tau mereka akan percaya kepada janji atau tidak.

“Akhirnya berebutlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan…inilah yang saya risaukan,” katanya.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada PRU15, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tiga negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya bagi kerusi DUN dan Parlimen, dilaksanakan bersekali pada PRU15.

PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah masing-masing tidak membubarkan DUN, selepas ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Okt lepas.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 15 Okt, memutuskan untuk tidak membubarkan tiga DUN di bawah pentadbiran PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat