Pembangkang Kena Terima Hakikat, Azam Baki Tidak Bersalah – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertegas supaya kontroversi pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki tidak lagi dipertikaikan terutamanya daripada blok pembangkang.

Hal ini kata beliau, pembangkang tidak boleh terus mendesak kerajaan untuk menjalankan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memandangkan Siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak mengesan sebarang pelanggaran undang-undang ke atas pemilikan saham Azam seperti didakwa.

“SC sudah pun membuat keputusan, jadi kita dah kata tadi kita serahkan kepada SC kerana ianya melibatkan pembelian syer
jadi SC dah buat keputusan hari ini.

“Malah SC pun buat kenyataan mengatakan tidak ada kes terhadap (Azam) jadi kita terima lah keputusan SC.

“Jangan kita minta supaya beliau (Azam) disiasat apabila beliau disiasat keputusan dibuat kita masih tak puas hati. Jangan kita fikir kena kena ikut kehendak kita.

“…kalau pembangkang rasa mesti kena ikut kehendak pembangkang, tak boleh pembangkang kena terima lah keputusan daripada badan profesional SC,” kata Perdana Menteri ketika ditemui media di Putrajaya malam ini.

Ismail Sabri juga mengulas sekiranya masih ada pihak yang tidak puas hati maka pertikaian itu wajar dikemukakan kepada SC.

“Jadi saya rasa kalau ada apa-apa nak tanya lagi tentang SC punya keputusan kena tanya SC.

“Kita sebagai orang biasa di luar sana, keputusan SC telah memberi panduan,” ujar beliau.

Terdahulu Siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap isu pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki tidak dapat memuktamadkan mengenai pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Ini berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menerusi satu kenyataan, suruhanjaya itu yang selesai menjalankan siasatan menjelaskan, perkara itu berdasarkan pengumpulan bukti yang diserahkan kepada pihaknya.

“SC telah menyelesaikan siasatannya dan berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad jika terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.

“Dalam hal ini, persoalan tersebut berkaitan dengan isu jika ada kemungkinan pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA,” katanya.

Mengulas lanjut, SC menjelaskan, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

“Selain itu, Seksyen 25(4) SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” katanya.

SC membuat kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan mengenai Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam.

Terdahulu, Azam memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, saham-saham yang dibeli adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

Sementara itu, 6 Januari lalu, SC telah meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat