Belanjawan 2021 lalui perdebatan hangat, halangan & tuntutan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dengan sokongan majoriti antara yang menjadi tumpuan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 persidangan Dewan Rakyat yang menutup tirainya pada Khamis.

Selepas melalui perbahasan dan penggulungan hangat selama 10 hari, rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian setelah bacaan ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Walaupun terdapat cubaan ahli Parlimen blok pembangkang untuk menggagalkan rang undang-undang tersebut apabila selesainya penggulungan pada peringkat jawatankuasa, namun tindakan itu tidak berhasil apabila undi belah bahagian menyaksikan keputusan sama.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 melalui proses perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 Nov lepas.

Bagi peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan undi belah bahagian sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan.

Kementerian tersebut ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selain itu, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga melalui undi belah bahagian.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan tersebut, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan menangani penularan pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Persidangan selama 46 hari bermula pada 2 November sehingga 17 Disember itu turut mengupas pelbagai isu lain berkaitan ekonomi, hutang negara, komoditi, moratorium bersasar dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Minggu terakhir persidangan kali ini menyaksikan beberapa pindaan rang undang-undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan diluluskan termasuk RUU Kastam, RUU Eksais, RUU Zon Bebas dan RUU Cukai Jualan.

RUU Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan berkaitan COVID-19 turut dibahaskan dan menjadi antara RUU yang paling hangat didebatkan pada sesi ini, berikutan penularan pandemik yang memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat.

Antara yang diumumkan pada sesi perbahasan kali ini adalah berkaitan pandemik iaitu kos perbelanjaan rawatan dan vaksin COVID-19 bagi ibu bapa boleh mendapat pelepasan cukai di bawah perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata pelepasan cukai pendapatan bagi individu boleh dituntut sehingga jumlah maksimum RM8,000 manakala pelepasan cukai sebanyak RM1,000 bagi rawatan vaksinasi termasuk vaksin COVID-19 juga terpakai untuk individu pembayar cukai termasuk anak dan isteri.

Tengku Zafrul pada sesi penggulungan kementerian itu juga mengumumkan beberapa berita baik antaranya program i-Sinar yang membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dibuka kepada semua lapan juta pencarum dengan had pengeluaran dinaikkan kepada RM10,000.

Terdapat juga cadangan supaya kerajaan mewujudkan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menggantikan sistem cukai jualan dan perkidmatan (SST) dalam usaha menambah pendapatan kerajaan dalam situasi ekonomi negara menghadapi impak pandemik.

Tengku Zafrul berkata kerajaan tiada sebarang keputusan untuk melaksanakan semula GST setakat ini kerana keutamaan pada masa ini adalah menyokong usaha-usaha memerangi penularan COVID-19, melindungi rakyat dan menyokong perniagaan.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan sedang menjalankan kajian dan mendapatkan pandangan serta maklum balas pelbagai pihak berkepentingan mengenai kesesuaian untuk melaksanakan apa-apa model cukai kepenggunaan dengan mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem SST sekarang, serta kelemahan sistem GST terdahulu.

Sementara itu, isu masa depan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Bhd (MAB) turut dibangkitkan dalam persidangan kali ini,

Menjawab isu tersebut, Tengku Zafrul menegaskan sebarang cadangan pemulihan dan penstrukturan syarikat adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd, selaku pemegang saham tunggal syarikat.

Keputusan untuk menutup atau menamatkan operasi Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil rundingan syarikat itu dengan pihak pemiutang dan pemajak bagi tujuan penstrukturan semulanya, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan mengadakan rundingan lanjut dengan pihak Khazanah bagi mengenal pasti hala tuju syarikat khususnya dalam memperkukuh kedudukan kewangan dan mengenal pasti penyelesaian strategik terbaik untuk kumpulan penerbangan tersebut.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat