Isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan antara tiga isu baharu prosiding PAC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan menjalankan prosiding melibatkan tiga isu baharu termasuk pelaksanaan pertukaran tanah di bawah Kementerian Pertahanan, kata  Pengerusinya Wong Kah Woh.

Beliau berkata selain isu pertukaran tanah dari 1995 hingga 2018 itu, PAC juga akan meneliti  pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) (2012-2018) di bawah Kementerian Pengangkutan dan projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet  (2011-2019) di bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata tiga isu itu dikemukakan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada PAC melalui Pengerusinya yang juga bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin lepas.

“PAC Parlimen berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu ini untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menurut Wong, JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes pertukaran tanah, kaedah digunakan bagi membangunkan fasiliti Kementerian Pertahanan dengan dibiayai tukar ganti tanah persekutuan dengan pihak swasta melibatkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah kira-kira RM4.8 bilion.

“PAC Parlimen dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini  ialah berkaitan kerugian kerajaan akibat kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan,” katanya.

Mengenai AES, beliau berkata JKSTUPKK telah membuat siasatan terhadap kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera berjumlah RM555 juta dalam pengambilalihan syarikat konsesi AES, yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

Sementara itu, bagi Projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet yang dilaksanakan selama lapan tahun dengan kos RM2.71 bilion bagi melengkapi 10,000 sekolah dengan akses Internet berkelajuan 4G, JKSTUPKK menemukan kelemahan dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek tidak tercapai, kata Wong.

Wong berkata PAC Parlimen akan memulakan prosiding terhadap isu pertukaran tanah dengan memanggil saksi pertama iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan selaku Pegawai Pengawal Kementerian bagi memberikan keterangan pada 30 Nov ini.

“Selepas prosiding ini, PAC Parlimen akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu ini,” katanya.

Wong juga berkata prosiding ke atas ketiga-tiga isu itu akan mengambil masa yang panjang dan tidak sempat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini yang dijadual berakhir  pada 15 Dis.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat