KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengajak Pas menjalin kerjasama dua parti terbesar orang Melayu.
“Kami menghulurkan tangan untuk penyatuan dua parti terbesar orang Melayu iaitu Umno dan Pas.
“Lupakan sengketa bersatulah wahai bangsaku,” seru Adun Merlimau.
Akmal juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 M ei lalu bahawa gabungan itu tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak, sebaliknya bersedia memulangkan hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
Bahkan kata Anwar PH bersedia untuk bertanding solo bukan sahaja di peringkat pilihan raya negeri (PRN), malah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kalau betul mereka rasa dah tiba waktu pilihan raya bermula di Johor, kita akan sambung di Negeri Sembilan dan mungkin, mungkin kita lempar biar rakyat tentukan satu Malaysia.
“Kita dikejutkan dengan keputusan UMNO, Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi (PRN Johor). Hari ini PH ambil keputusan tegas, kita akan bertanding di semua kawasan, saya akan bincang apakah kita sedia lakukan Selangor, Pulau Pinang, Pahang semua kawasan.
“Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way. Jadi kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi,” kata Perdana Menteri,
Dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau, Akmal berkata, kita buat trademark “Aku Budak Umno” dia kata kita budak-budak.
“Ada pemimpin besar negara pergi ke Johor dia kata tak takut dengan ancaman budak-budak tapi saya nak bagi amaran, budak budak inilah yang akan menjatuhkan kamu suatu hari nanti, insya- Allah.
“Jangan pernah anggap bahawa budak-budak ini budak yang lekeh. Saya nak bagi amaran kepada orang-orang tua di sana, kalau kamu lekehkan budak-budak yang ada di sini, Kamu kena ingat PRU16, lebih daripada 50 peratus adalah budak-budak yang bawah umur 40 tahun.
“Bila kawan kamu biadab dengan raja pasal babi pun sanggup biadab dengan raja, kamu buat apa?
“Kita orang Melayu, jangan berpecah belah, ternyata, walaupun kita ini kaum yang majoriti, tapi kalau kita berpecah belah, maka kita akan jadi minoriti.
“Sudah tiba masanya, satukan Melayu ini di bawah payung Umno ini, satukan Melayu. Kalau Melayu ini nak bersatu, mestilah dua parti Melayu yang utama dalam negara ini mesti disatukan. Pas dan Umno mesti disatukan. Barulah kita bersatu.
“Ini kita berpolitik soal masa depan anak bangsa kita. Kita duduk bersama. Satukan, kuatkan orang Melayu di tanah air kita,” katanya dalam video berkenaan.
Tegas Akmal, inilah tujuan Umno ditubuhkan.
“Mari kita satu hati, kita duduk dalam Rumah Bangsa ini. Kita duduk sama-sama.
“Bagi Umno, saya mewakili pemuda, kita menghulurkan tangan untuk penyatuan Melayu-Islam ini di tanah air kita.
“Sebab dah sampai masanya. Kalau kita bertelagah bersama sendiri, percayalah… hari ini tuan-tuan ada kerja, tak apa. Bagus. Alhamdulillah ada rumah.
“Tapi kalau hari ini Melayu bersama Melayu, kita bertelagah, akhirnya ada puak yang mengambil kesempatan, apa akan jadi kepada anak cucu cicit kita? soal beliau.


