Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus mempergiat usaha penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti perairan negara termasuk tumbuhan air yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta menyokong kelangsungan sumber perikanan negara.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata tumbuhan air bukan sahaja penting dari sudut biodiversiti, malah mempunyai nilai ekonomi yang semakin berkembang dalam pelbagai sektor termasuk akuakultur, industri ikan hiasan, rawatan air, farmaseutikal dan eko-pelancongan.
Beliau berkata kelestarian tumbuhan air mempunyai kaitan langsung dengan kesihatan ekosistem perairan dan sumber perikanan negara.
“Habitat ini bukan sahaja menyokong kehidupan pelbagai spesies hidupan air, malah turut membantu mengekalkan keseimbangan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti yang bergantung kepada sumber perikanan.
“Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pengeluaran tumbuhan air tropika di rantau Asia Tenggara berikutan kepelbagaian spesies tempatan, keadaan iklim yang sesuai sepanjang tahun serta permintaan yang semakin meningkat dalam industri akuarium, aquascape dan tanaman hiasan, ”katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa 2026.
Katanya lagi, tumbuhan air yang hidup di kawasan sungai, tasik, paya, muara dan pesisir pantai merupakan antara komponen penting dalam ekosistem perairan.
“Spesies ini terbahagi kepada beberapa kategori termasuk tumbuhan timbul, terapung bebas, terapung berakar dan tumbuhan tenggelam yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dalam habitat semula jadi hidupan air.
“Selain menjadi kawasan perlindungan dan pembiakan bagi ikan, udang dan organisma kecil lain, tumbuhan air turut membantu mengekalkan kualiti air melalui penyerapan nutrien serta bahan pencemar secara semula jadi.
“Fungsi ini penting dalam mengurangkan kesan eutrofikasi yang boleh menjejaskan kehidupan hidupan air akibat kekurangan oksigen serta ekosistem tumbuhan air juga berperanan sebagai penyerap karbon semula jadi yang cekap, khususnya di kawasan paya bakau dan wetland.
“Keupayaan ini membantu mengurangkan kesan perubahan iklim selain menyokong kestabilan tebing sungai dan kawasan pesisir daripada hakisan, ”ujarnya.
“Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL), telah menjalankan pelbagai penyelidikan berkaitan tumbuhan air tempatan dan eksotik bernilai tinggi termasuk kajian kultur tisu, pengumpulan spesies untuk bank gen, pembangunan herbarium tumbuhan air Malaysia serta pemetaan spesies endemik terpilih di seluruh negara.
“Sehingga kini, lebih 30 spesies tumbuhan air telah direkod dan dikaji oleh IPPGL termasuk daripada genus Cryptocoryne, Anubias, Bacopa, Echinodorus dan Vesicularia yang mempunyai nilai tinggi dalam industri ikan hiasan, landskap serta eksport tumbuhan akuatik premium, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, DOF turut memberi perhatian terhadap ancaman pencemaran, pembangunan tidak terkawal dan pencerobohan spesies asing yang boleh menjejaskan spesies tumbuhan air tempatan serta keseimbangan ekosistem perairan negara.
“Bagi memperkukuh usaha pemuliharaan sumber perairan, IPPGL turut merancang pelaksanaan kajian penghasilan tumbuhan air menggunakan teknologi pintar (smart farming) berasaskan Internet of Things (IoT) bermula tahun 2027 selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.
“DOF menyeru semua pihak agar bersama-sama memelihara biodiversiti perairan negara sebagai khazanah semula jadi yang penting kepada keseimbangan alam, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV



