Sila Bawa Jho Low Pulang, Dia Pernah Cuba Runding Dengan Kerajaan PH Elak Didakwa – Peguam Najib

- Advertisement -

PETALING JAYA – Rakaman perbualan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dengan pegawai kerajaan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) harus dikendali secara berhati-hati, kata seorang peguam Najib Razak.

“Sudah tentu dia akan bercakap apa saja selagi dapat menyelamatkannya! Kenyataan seperti itu tidak boleh dipercayai sepenuhnya,” kata peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee kepada FMT.

Beliau berkata, amat penting untuk memahami kenyataan itu dalam konteks yang tepat kerana Low, lebih dikenali sebagai Jho Low, bukan saja tidak mengaku bersalah tetapi “kami tahu dia sebelum ini cuba mencapai persetujuan dengan kerajaan PH untuk mengelak pendakwaan.”

Farhan berkata, pasukan pembelaan defendan itu membuat pendirian yang jelas, iaitu membawa pulang Jho Low dan mendakwanya.

“Kita lihat jika ceritanya dapat bertahan dalam proses pemeriksaan balas,” katanya.

Rakaman perbualan Jho Low dengan pegawai kerajaan itu didedahkan dalam sebuah dokumentari Al Jazeera.

Dalam klip yang mengandungi 2 bahagian siasatan khas bertajuk “Jho Low: Hunt For A Fugitive”, beliau menyalahkan pihak lain yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Saya tidak percaya ada sebarang kesalahan,” katanya yang didakwa sebagai dalang skandal 1MDB.

Beliau mendakwa, meminjam berbilion daripada 1MDB untuk membeli barang mewah, termasuk hartanah mewah, karya seni, sebuah jet peribadi dan kapal layar besar.

“Semua ini akhirnya ialah pinjaman, secara langsung atau tidak langsung, tetapi akhirnya, saya rasa masa sudah tiba, kami mahu membantu mengembalikan aset ini sebagai balasan untuk kerjasama dan meneruskan hidup tanpa, anda tahu, didakwa,” katanya.

Dalam rakaman itu, Low turut menyalahkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib Razak atas skandal, dengan berkata beliau (Low) tiada kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

Najib berdepan 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan yang bermula pada September tahun lalu akan bersambung pada 14 Disember dan pihak pembelaan masih melakukan pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan saksi pendakwaan ke-10, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Dalam kenyataan pembukaan perbicaraan, pihak pendakwaan berkata Najib menempatkan dirinya dalam posisi yang membolehkannya mengawal semua perkara penting berhubung perniagaan dan hal ehwal 1MDB secara mutlak.

Selain itu, perbicaraan itu mendengar bahawa Najib menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat itu melakukan tindakan tertentu untuk mengenakan pengaruh terhadap lembaga 1MDB bagi menjalankan transaksi tertentu yang tidak normal tanpa sebarang keraguan.

Pihak pendakwaan berkata, Jho Low merupakan watak penting dalam bayangan dan melalui percakapan dan kelakuan Najib, ia dapat menunjukkan secara jelas kepada pegawai dan lembaga pengarah 1MDB serta pihak lain yang Jho Low ialah rakan dipercayainya.

“Pihak pendakwaan akan membuktikan fakta yang menunjukkan kesimpulan tidak dapat dinafikan Jho Low dan tertuduh (Najib) bertindak sebagai 1 pasukan pada setiap masa,” kata pendakwa raya ad-hoc, Gopal Sri Ram.

Bagaimanapun, pihak pembelaan berpendapat Jho Low adalah “mastermind” dan menjalankan hal ehwal 1MDB tanpa persetujuan dan pengetahuan Najib. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat