KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik kerana didakwa gagal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk golongan muda.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, laporan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menunjukkan 226,000 graduan berjaya menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) setiap tahun.
Menurutnya hanya 105,000 pekerjaan mahir berjaya diwujudkan di negara ini dan menyaksikan 36.3 peratus rakyat bekerja dalam sektor tidak formal.
“Laporan Bank Dunia mendedahkan ramai graduan di negara ini memilih untuk menjadi pemandu e-hailing, juruwang dan pekerja kilang kerana kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti.
“Apa yang Tambun (Anwar) buat?
“Tambun lantik kroni dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tapi gagal menarik pelaburan yang mencipta pekerjaan untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Bagaimanapun dakwaan Wan Ahmad Fayhsal itu mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan.