Harga lantai padi RM1,500 sesuai pasaran ketika ini – MADA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Harga lantai belian padi yang ditetapkan pada kadar RM1,500 per tan bermula semalam, didapati bersesuaian berdasarkan harga pasaran padi ketika ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pelarasan harga lantai yang dibuat kerajaan dan diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu minggu lalu, juga dibuat berdasarkan bekalan dan permintaan semasa.

Beliau berkata, berdasarkan harga lantai RM1,500 itu, sepatutnya beras tempatan itu dijual pada harga RM32 per 10 kilogram (kg), namun kerajaan menyerap kos pengeluarannya melalui dana RM150 juta bagi mengekalkan harga RM26 per 10 kg.

“Pelarasan ini adalah tepat dan Kerajaan MADANI sudah melakukan dua kali pelarasan, yang pertama daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan dan sekarang kenaikan lagi RM200. Ia kenaikan yang signifikan berdasarkan faktor bahawa ini adalah harga pasaran yang kita faham bahawa harga sesuatu barangan ditentukan bekalan dan permintaan.

“Sekarang harga beras dunia sedikit menurun iaitu sekitar RM2,600 hingga RM2,800 per metrik tan. Apabila beras import ini diproses, harga pasarannya adalah sekitar RM32 hingga RM34 per 10 kg.

“Jadi jika harga belian padi RM1,500 yang diumumkan itu dijual di pasaran, harganya adalah RM32 per 10 kg. Tetapi bagi mengekalkan harga RM26 per 10 kg, maka kerajaan menyuntik RM150 juta bagi mengeluarkan 24 juta kampit beras 10 kg,” katanya ketika ditemubual pada program Selamat Pagi Malaysia pada Isnin.

Berikutan itu, Dr Ismail berkata, pihaknya mendapati harga lantai RM1,500 adalah paling tepat untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhan terus dijaga tanpa membebankan mana-mana pihak.

Melalui sesi penerangan berterusan juga, beliau berkata, pesawah di kawasan MADA menerima baik harga lantai belian padi berkenaan dan mereka memahami usaha berterusan yang dilakukan kerajaan.

“Cuma ada suara sebahagiannya minta harga RM1,800 per tan. Apa asasnya peladang minta harga RM1,800? Asasnya peladang kita sejak 2023 sudah biasa mendapat harga itu, sejak beberapa musim padi mereka dibeli pada harga RM1,800.

“Apabila peladang biasa mendapat harga itu, maka rantaian kos pertanian bermula daripada upah bajak sawah, sewa jentuai, lori dan sebagainya meningkat naik. Itu alasannya, tetapi kerajaan sudah semestinya melihat kepada kepentingan rakyat keseluruhannya, kepentingan peladang dan kepentingan pengilang sendiri.

“Jadi saya kira harga ini sangat tepat dan di bawah sana apabila diberi penerangan, maka rakyat faham dan peladang di kawasan MADA juga gembira dengan harga baru ini,” lapor BH.

Khamis lalu, kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan berbanding RM1,300 per tan sebelum ini berkuat kuasa semalam.

Mohmad Sabu juga mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, dimana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.

Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) melahirkan rasa dukacita apabila mereka mengharapkan harga lantai ditetapkan pada harga RM1,800 per tan kerana menganggap kadar RM1,500 tidak dapat menampung kos input pertanian yang meningkat sejak beberapa tahun lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat