CYBERJAYA (BERNAMA) – Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (OSC), Hasnah Mohammed Hashim menegaskan tanggungjawab melindungi kanak-kanak di alam maya tidak seharusnya dipikul oleh ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
Beliau berkata semua golongan dewasa termasuk guru, pengasuh, ahli keluarga serta masyarakat umum perlu memainkan peranan bagi memastikan keselamatan fizikal dan mental kanak-kanak sentiasa terpelihara.
“Semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan apabila membabitkan kanak-kanak bagi memastikan kepentingan mereka sentiasa terpelihara dan tidak diambil kesempatan,” katanya dalam satu wawancara bersama Bernama.
Hasnah turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran awam dan tanggungjawab kolektif dalam melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi, penderaan serta kandungan berbahaya di internet.
Menurut beliau, ibu bapa dan penjaga perlu lebih aktif memantau aktiviti dalam talian anak-anak memandangkan golongan kanak-kanak kini semakin celik digital pada usia muda.
“Kanak-kanak berusia sembilan tahun hari ini mungkin lebih mahir daripada remaja. Dengan pelbagai risiko di media sosial, ibu bapa atau penjaga sah perlu memantau dan lebih peka terhadap apa yang dilihat oleh anak-anak mereka,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kandungan yang kelihatan tidak berbahaya juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko termasuk pemangsa seksual, penipuan dan bahan tidak sesuai yang menyamar sebagai kandungan mesra kanak-kanak.
“Mungkin kanak-kanak menyangka ia Miss Rachel, tetapi sebenarnya bukan. Ia mungkin seseorang yang menyerupai pendidik atau YouTuber tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Hasnah melahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir ibu bapa yang berkongsi secara berlebihan gambar dan video anak-anak di media sosial tanpa memahami implikasi jangka panjang terhadap keselamatan serta privasi mereka.
Beliau berkata OSC akan terus meneliti pendekatan yang dilaksanakan di negara lain bagi memastikan sebarang syor yang dikemukakan bersesuaian dengan persekitaran sosial dan perundangan Malaysia.
Katanya, OSC yang bertindak sebagai badan berkecuali di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan mencadangkan garis panduan dan langkah sewajarnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh keselamatan dalam talian serta akauntabiliti platform digital.
Hasnah turut mencadangkan lebih banyak kandungan berbentuk podcast dan video dihasilkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko keselamatan kanak-kanak di alam maya.
“Mungkin perlu ada lebih banyak podcast berkaitan keselamatan kanak-kanak kerana ramai masih belum memahami risiko yang wujud,” katanya.
ONSA yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 bertujuan mewujudkan persekitaran internet lebih selamat khususnya kepada kanak-kanak dan keluarga menerusi penetapan tanggungjawab jelas terhadap penyedia platform digital.
Seiring pelaksanaannya, dua kod baharu di bawah ONSA 2025 iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada kandungan berbahaya di alam maya.



