Pinda Akta 342: Kompaun Besar Tumpu Kilang, Orang Kenamaan Libatkan Kesalahan Berulang – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengemukakan rasional Kementerian Kesihatan (KKM) meminda Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342).

Kata beliau, kompaun dengan amaun yang besar ini fokus kepada kes-kes berulang membabitkan kilang-kilang besar yang menjana pendapatan berbilion ringgit setiap tahun dan juga orang kenamaan sebagai satu pengajaran.

“Rasionalnya adalah lebih kepada kes-kes yang menjadi kesalahan berulang (repeat offender) dan dituju kepada kes-kes tertentu.

“Saya bagi contoh Kluster Teratai ialah sebuah kilang yang besar di mana pendapatan syarikat itu setiap tahun berbilion-bilion ringgit, sebelum Ordinan Darurat diisytiharkan kita hanya bagi denda RM1,000 sahaja selepas Ordinan Darurat ia berulang kali jadi kluster kita kenakan RM10,000.

“Keadaan pekerja-pekerja mereka adalah sangat memalukan kebajikan dan juga ruang tinggal mereka dan sebagainya jadi denda ini ialah lebih tertumpu kepada kes-kes tersebut.

“…untuk individu, kita dah ada garis panduan kalau tak pakai pelitup muka kita akan bagi nasihat dulu, ini memang jelas.

“Saya pun dah bagi arahan kita jangan terus denda tetapi apabila ada ‘repeat offender’ terutamanya di kalangan orang kenamaan kita kenalah bagi sesuatu yang jadi pengajaran kepada mereka,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Untuk rekod, Kluster Teratai di Selangor melibatkan kakitangan di kilang sarung tangan Top Glove yang disifatkan pengabaian majikan yang gagal mengimbangi antara kepentingan keuntungan dan keselamatan serta kesihatan pekerja.

Selain itu, sebelum ini ramai pemimpin seolah-olah mendapat keistimewaan tertentu apabila bebas ke sana ke sini menghadiri program itu ini sekali gus menonjolkan ‘pilih bulu’ dalam penguatkuasaan SOP COVID-19 terutamanya sewaktu PKP.

Pun begitu menurut Menteri Kesihatan itu, pindaan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) adalah pilihan terakhir.

“Saya harap dengan adanya ancaman Omicron ini saya betul-betul merayu sekali lagi kepada ahli-ahli Parlimen untuk membantu KKM luluskan pindaan ini.

“Minggu depan saya akan duduk bersama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk kita memperhalusi garis panduan dan peraturan secara terperinci.

“Mustahil saya nak masukkan perincian dalam akta kerana ini melibatkan semua penyakit berjangkit bukan sahaja COVID-19 mungkin ada penyakit lain pada masa akan datang,” jelas Khairy lagi.

Difahamkan antara penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk cadangan meningkatkan nilai kompaun daripada RM1,000 kepada satu nilai yang dibezakan jumlah antara individu dengan pertubuhan perbadanan.

Manakala bagi pertubuhan dan perbadanan pula dicadangkan untuk ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM1,000 sebelum ini.

Nilai RM1 juta ditetapkan bagi pertubuhan perbadanan kerana ia bertanggungjawab memastikan organisasinya serta tempat kerjanya selamat dan tidak menyebabkan berlakunya penularan penyakit berjangkit.

Nilai kompaun yang tinggi ini sebagai satu pengajaran agar kesalahan tidak diulangi.

Walau bagaimanapun, pengenaan nilai kompaun ini juga dibuat berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat