Hikmah sebalik PKP

- Advertisement -

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung selama beberapa fasa sejak tahun lalu memberi kesan mendalam kepada seluruh masyarakat.

Namun begitu, dalam pahit yang kita rasakan ketika ini nampaknya masih juga ada hikmah dan kemanisan daripada PKP itu.

Bagi penyanyi, Mark Adam, PKP membuka ruang untuknya belajar dan mendalami ilmu agama sekali gus membetulkan kekurangannya dalam pengajian Al-Quran.

“Alhamdulillah, syukur sejak tahun lalu saya sudah belajar mengaji secara atas talian dengan seorang guru agama. Alhamdulillah, setakat ini, dia maklumkan ada peningkatan dalam pengajian saya,” katanya.

Dalam temubual bersama penyanyi yang juga mualaf itu, dia bersyukur kerana banyak ilmu baharu dapat ditimba dan diperolehnya untuk ke arah menjadi muslim sejati.

“Sebelum ini, saya ada juga belajar mengaji. Cuma, pada masa sekarang apabila dah ada banyak masa di rumah, saya gunakan waktu di hujung minggu untuk membetulkan beberapa perkara berkaitan Al-Quran.

“Antaranya, cara sebutan saya serta hukum-hukum tajwid dalam pembacaan Al-Quran. Alhamdulillah, saya bersyukur bila dimaklumkan ada peningkatan,” katanya.

Selain mendalami ilmu agama dan belajar mengaji, Mark juga menggunakan masa yang ada untuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

“Setakat ini, ada lebih kurang 10 lagu yang sudah saya siapkan. Ada satu lagu baharu yang saya dapat ilhamnya selepas pemergian sahabat kami, Siti Sarah.

“Saya pun tak pasti bila akan siap. Tapi, rancangannya saya akan berikan lagu itu kepada Shuib. Sama ada dia nak simpan atau terbitkan, itu terpulang kepada dia,” katanya.

Berkongsi mengenai Covid-19, Mark tidak menafikan bahawa dia adalah orang yang sangat paranoid.

“Di rumah saya, ada warga emas dan saya tak mahu mengambil sebarang risiko. Memang saya takut untuk keluar rumah kerana tak mahu membahayakan keselamatan keluarga.

“Dalam situasi sekarang, keselamatan keluarga adalah keutamaan saya. Jadi, kalau perlu keluar rumah pun saya akan fikir banyak kali melainkan untuk membeli barang keperluan dapur,” katanya.

Selain menyanyi dan mencipta lagu, Mark juga dikenali sebagai guru muzik dan memiliki sekolah muziknya yang kini masih lagi beroperasi.

“Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya saya untuk tidak menutup sekolah muzik itu walau apa pun yang berlaku.

“Sebagai guru, saya memberikan ilmu kepada pelajar-pelajar saya dan pada masa sama saya juga sayangkan mereka semua. Oleh itu, saya akan cuba bertahan.

“Setakat ini, kelas saya bersama pelajar-pelajar dibuat secara atas talian. Walaupun tak seramai sebelum ini, namun pendaftaran daripada pelajar-pelajar baharu sentiasa ada,” katanya.

Menurutnya, proses pembelajaran secara atas talian itu akan tetap diteruskan walaupun PKP sudah berakhir.

“Insya-Allah, selepas PKP ini ditamatkan, kelas secara fizikal akan beroperasi seperti biasa semula. Begitu juga, kelas secara ‘online’.

“Bagi saya, kelas ‘online’ tetap dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang berada jauh terutama mereka yang menetap di luar Lembah Klang untuk turut sama belajar,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat