Touch cipta sejarah di Cannes

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Melakar sejarah industri sinematik tempatan apabila filem pendek, Touch meraih pengiktirafan Anugerah Filem Cannes 2021 dengan mengungguli kategori Filem Asia Terbaik, baru-baru ini, ketulusan pengkarya dalam merealisasikan naskhah ini terserlah.

Mengakui kemenangan bukan sekadar meraih populariti, apatah lagi dianggap kejayaan besar dicapai pembikin filem tempatan pada acara berprestij itu, penerbit, Grace Lee menyifatkan berita gembira di Cannes sebagai bukti karya tempatan layak dihargai dan diberi tempat dalam acara anugerah filem antarabangsa.

“Kami gembira anugerah dimenangi di mana secara tidak langsung memberi penghargaan kepada kru belakang tabir yang kebanyakannya bakat muda.

“Bagi kami, pengiktirafan ini bukanlah untuk menjadikan kami popular tetapi membuktikan dan memperlihatkan industri seni kreatif tanah air perlu dihargai.

“Ini bukanlah mengenai bajet yang dikeluarkan, sebaliknya kesungguhan kita untuk melaksanakan karya berkualiti.

“Secara jujurnya, bajet kami tidaklah begitu besar tetapi kami berusaha bersungguh-sungguh menghasilkan karya terbaik,” katanya kepada BH Online.

Touch arahan Kurisu Lee diumumkan pemenang kategori Filem Asia Terbaik pada Anugerah Filem Cannes 2021 di Art Gallery Cannes Cote d’Azur, Cannes, Perancis pada 8 Jun lalu.

Grace berkata, Anugerah Filem Cannes berbeza dengan Festival Filem Cannes di mana festival filem berkenaan lebih mengutamakan filem komersial manakala Anugerah Filem Cannes cenderung mengiktiraf filem pendek.

Namun, kedua-dua acara membabitkan kerjasama pakar pembikinan filem di Eropah dan antarabangsa.

Biarpun teruja dengan kemenangan Touch, Grace mengaku tidak pasti apa yang mahu dilakukan untuk mengangkat karya berkenaan ketika negara berhadapan penularan pandemik COVID-19.

“Secara jujur, kami sangat teruja di mana kami terfikir untuk mengekalkan momentum kemenangan ini dengan mengadakan majlis tayangan atas talian, namun, ia sukar.

“Kami berharap filem ini dapat ditayangkan secara teratur tetapi sedihnya, keadaan semasa menghalang kami merealisasikan hasrat itu,” katanya.

 

Penerbit, Grace Lee menyifatkan pengiktirafan bukanlah menjadikan mereka popular, tetapi membuktikan dan memperlihatkan industri seni kreatif tanah air perlu dihargai. - Foto Grace Lee
Penerbit, Grace Lee menyifatkan pengiktirafan bukanlah menjadikan mereka popular, tetapi membuktikan dan memperlihatkan industri seni kreatif tanah air perlu dihargai. – Foto Grace Lee

 

Berkongsi lanjut mengenai filem itu, Grace berkata, projek Touch bermula pada akhir 2019 dan bersifat filem eksperimental.

“Segala-galanya bermula apabila saya dan Kurisu bersama pengurus lokasi, Vicky mahu menjalankan projek eksperimen mengetengahkan drama bukan tipikal.

“Selepas merancang, kami berjaya melakukan penggambaran selepas Tahun Baharu Cina, tahun lalu, iaitu sebelum bermulanya fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penggambaran berjalan lancar selama lima hari. Selepas itu, kami merancang mengatur sesi tayangan,” katanya.

Grace berkata, projek Touch disokong pengeluar barangan elektrik, Panasonic melalui usaha Kurisu.

“Kurisu sebelum ini pernah menghasilkan filem untuk Panasonic. Sejak itu, syarikat berkenaan memberi insentif kepada Kurisu untuk terus berkarya menggunakan produk mereka.

“Namun, rancangan untuk menayangkan Touch tidak dapat direalisasikan. Jadi, kami berusaha menghantar filem pendek ini menyertai festival filem antarabangsa.

“Kami bersyukur menarik perhatian banyak festival filem asing,” katanya.

Grace berharap kejayaan Touch menjadi pemangkin semangat lebih ramai penggiat industri untuk menghantar penyertaan ke festival filem antarabangsa.

“Kami memenangi beberapa anugerah tapi sedihnya tidak boleh ‘terbang’ (menghadiri acara) kerana keadaan semasa.

“Bagaimanapun, kami gembira. Kami tidak mendapat banyak manfaat daripada hadiah ditawarkan, sebaliknya, kami terima banyak pendedahan daripada festival filem di seluruh dunia.

“Kami ditemuramah dan kami dipelawa menyertai bengkel perfileman yang akan dianjurkan pada masa depan.

“Peluang menjadi sebahagian daripada bengkel iaitu sebagai peserta dan penceramah membuatkan kami rasa dihargai,” katanya yang turut menerima jemputan daripada penganjur festival filem dari Prague, Vienna dan Itali.

 

Antara babak dalam filem pendek, Touch yang membuktikan karya tempatan layak dihargai dan diberi tempat dalam acara anugerah filem antarabangsa. - Foto Grace Lee
Antara babak dalam filem pendek, Touch yang membuktikan karya tempatan layak dihargai dan diberi tempat dalam acara anugerah filem antarabangsa. – Foto Grace Lee

Grace berkata, filem pendek garapan penggiat seni tempatan rata-ratanya bermutu.

“Namun, penggiat industri seni di Malaysia tiada ilmu mengenai bagaimana mahu menghantar karya ke festival filem antarabangsa.

“Jadi, sedikit sebanyak, kami boleh berkongsi pengalaman dengan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Kurisu berkata, Touch berkisar minda sedar dan tidak sedar manusia apabila tidur.

“Touch adalah filem pendek yang meneroka minda sedar dan tidak sedar individu. Melalui karya ini, pelakon utama melalui beberapa lapisan dan dimensi dalam fikirannya.

“Untuk terus bergerak, bersembunyi atau melarikan diri, kami tidak paparkan secara jelas. Ketika dia menjelajah lebih jauh dalam mimpinya, kita mula fahami perilaku selaras dengan minda tanpa sedar.

“Apakah dia dapat melarikan diri daripada fikirannya atau hanya memperlihatkan tingkah laku?” katanya.

Kurisu berkata, komposisi visual, bunyi, pengcahayaan dan ruang sangat penting dalam filem ini.

“Elemen estetik dipertimbangkan dengan serius dan bersungguh-sungguh untuk menghasilkan gambaran mimpi yang sesuai. Kami mahu mewujudkan dunia yang biasa dilihat tetapi pada masa sama tidak dikenali,” katanya.

Filem eksperimentasi pendek Touch terbitan Hundred Films dan Earth Picture Production ini berkisar watak Adam yang bergelut dengan kehidupan dan persekitaran asing sehinggalah dia bertemu Natalie dan Jonah.

Pada akhir cerita, penonton menyedari Adam sebenarnya koma dan dijaga jururawat, Natalie dan pakar bedah, Jonah.

Touch turut mendapat pengiktirafan pada Anugerah Emas Milan; Festival Filem Pendek Oregon; Festival Filem Antarabangsa Crown Wood dan Festival Filem Independent Los Angeles (LA).

Filem pendek berdurasi 13 minit ini juga diiktiraf Festival Filem Antarabangsa Bulanan Eurasia dan meraih trofi pada Anugerah Sinematografi Asia. Dibintangi Jonathan sebagai Adam, Katrina Ho (Natalie) dan Steve Yap (Jonah).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat