Bersatu terima surat balas PAS, Muhyiddin ulangi iltizam perkukuhkan PN

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan menerima surat daripada PAS yang mengandungi cadangan bagi memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), dalam perkembangan terbaharu hubungan antara dua parti teras gabungan pembangkang itu yang menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata beliau menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS bertarikh 6 Jun 2026 berhubung hubungan Bersatu dan PAS serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan PN.

“Saya telah menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS bertarikh 6 Jun 2026 mengenai hubungan Bersatu dan PAS serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional.

“Saya akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk diteliti,” katanya.

Muhyiddin turut menegaskan Bersatu mengulangi tekad dan iltizam untuk terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam PN.

“Bersatu mengulangi tekad dan iltizam kami untuk terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Sementara itu, SuaraTV difahamkan melalui sumber PAS bahawa surat yang diterima Muhyiddin itu merupakan jawapan rasmi PAS terhadap surat penjelasan yang dihantar Bersatu kepada parti berkenaan beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan mengemukakan penjelasan kepada PAS bagi menjawab beberapa isu dan dakwaan yang dibangkitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional.

Pertukaran surat antara kedua-dua parti itu dilihat sebagai usaha mencari titik persefahaman susulan ketegangan yang tercetus dalam gabungan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, kandungan penuh surat PAS kepada Bersatu tidak didedahkan, manakala Muhyiddin hanya memaklumkan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penelitian lanjut.

Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian pemerhati politik memandangkan PAS dan Bersatu merupakan dua komponen terbesar dalam PN, dengan sebarang keputusan melibatkan hubungan kedua-dua parti berpotensi memberi kesan kepada masa depan gabungan tersebut menjelang pilihan raya akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat