Ismail Sabri minta rakyat buat pilihan bijak utamakan kestabilan

- Advertisement -

Transkrip Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masa siaran 9.30 malam, 15 Nov. 2022 

Apa Pandangan YAB Dato’ Sri mengenai perjalanan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini?

Alhamdulillah, hasil laporan yang saya terima daripada pihak polis, kempen berjalan dengan lancar. Tidak ada isu yang besar melibatkan provokasi keganasan melampau. Tidak seperti hari penamaan calon 5 Nov hari itu apabila berlaku sedikit kekecohan, tetapi setakat hari ini, masih tidak ada apa-apa yang serius. Saya mengharapkan supaya keadaan harmoni semasa berkempen ini diteruskan sehinggalah hari mengundi pada 19 Nov nanti.

Setelah beberapa hari berkempen, adakah kelihatan tanda kemenangan meniup ke arah Barisan Nasional (BN). Apakah faktor yang menyumbang kepada perubahan sokongan ramai ini kepada BN?

Of course (sudah tentu), saya yakin setakat hari ini daripada segi mood, di Parlimen Bera, saya sendiri berada di sini sepanjang hari. Saya juga sempat ke Johor serta Alor Gajah, Melaka. Saya lihat mood pengundi ini telah banyak berubah berbanding PRU-14.

Semasa PRU-14, kita boleh kesan daripada awal lagi (mood berbeza) tapi untuk kali ini keadaannya berbeza.  Bukan setakat dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi juga pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina yang sudah menampakkan penerimaan yang jauh bagus berbanding PRU-14.

Kalau tanya adakah saya yakin boleh menang? Tentu sahaja saya jawab yakin.

Terdapat pihak yang mendakwa tidak semua golongan dapat menikmati inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan oleh YAB Dato’ Sri. Sejauh mana kebenaran ini?

Bajet 2023 saya merasakan yang terbaik. Pertamanya bajet ini besar, terbesar dalam sejarah dengan RM372.3 bilion. Daripada segi pembangunan RM95 bilion dan bajet kali ini mencakupi keseluruhan Keluarga Malaysia di bandar, luar bandar, kumpulan B40, M40, T20 pun termasuk, begitu juga dengan petani, nelayan, penternak, kumpulan peniaga PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), malah yang melibatkan perniagaan antarabangsa semua dari segi bajet kali ini adalah menyeluruh.

Satu lagi, apabila kita berikan subsidi, ia adalah subsidi terbesar dalam sejarah dengan jumlah RM77.7 bilion tahun ini. Mereka yang menikmati subsidi tersebut bukanlah B40 semata-mata, tetapi adalah semua sekali termasuk T20.

Subsidi minyak semua dapat, subsidi elektrik pun semua dapat, tidak kiralah sama ada rumah orang kaya atau rumah orang miskin. Dulu kita fokus kepada B40, kali ini M40 pun kita berikan perhatian malah juga T20, semua pun dapat. Secara keseluruhannya semua dapat faedah daripada apa yang kita bentangkan ini.

Adakah strategi BN akan mengena atau berjaya dalam menguasai kawasan-kawasan panas dan kubu kuat pembangkang terutamanya dikawasan calon BN bertembung dengan calon ‘heavy weight’ pembangkang?

Itu menunjukkan keyakinan kita. Kita yakin kita mampu menewaskan sesiapa sahaja termasuk nama besar daripada pembangkang. Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada UMNO sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu.

Ini merupakan suatu cabaran kepada orang Melayu yang meminta kerusi itu diberikan kepada UMNO. Apabila kita berikan kepada UMNO, maka tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk merampas kerusi tersebut kerana mereka kata “kalau diberikan kepada UMNO, kita boleh memenanginya”.

Sebab itulah bagi kita, soal ‘nama besar’ mereka bukan menjadi halangan untuk kita bekerja kuat bagi memastikan kemenangan. Inilah yang saya sebutkan strategi dan keyakinan UMNO dalam memenangi satu-satu kerusi yang ditandingi.

Bagaimana pula dengan cakap-cakap mengenai berlakunya pertelagahan dalam BN sendiri daripada segi pemilihan calon serta perselisihan pendapat berkaitan isu-isu kontroversi yang melanda parti. Tidakkah ini akan memberi impak negatif kepada BN dikaca mata pengundi?

Isu dalaman ini digembar-gemburkan oleh pihak musuh sedangkan dua atau tiga minggu sebelum PRU-15, saya bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun ke empat zon dalam Program Solidariti yang memberikan optik kepada rakyat. Sebenarnya tidak ada sebarang perpecahan.

Perselisihan pendapat memang diraikan di dalam parti yang besar seperti UMNO, tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perpecahan. Sebab itu, saya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid turun bersama kepimpinan tinggi UMNO dan juga BN. Maknanya, kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa isu perpecahan dalaman tidak ada dan juga isu perpecahan dalam BN, komponen dengan UMNO juga tidak ada. Itu sebabnya setiap kali program, kepimpinan BN akan turut bersama.

Tetapi daripada segi soal calon, memang tidak pernah perfect (sempurna) daripada dulu pun. Memang setiap kali PRU tentu akan ada isu tidak berpuas hati tentang calon. Perkara itu berlaku dan lumrah PRU.

Ia bukan sahaja dalam UMNO. Kalau kita lihat dalam DAP juga timbul isu yang menyebabkan bantahan di kalangan mereka, sebagai contoh di Parlimen Bentong, bekas MPnya (ahli Parlimen) Wong Tack digugurkan dan digantikan dengan calon lain yang menyebabkan Wong Tack bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan DAP.

Begitu juga dengan PKR, calon-calon dia juga ada yang tidak berpuas hati. Sebagai contoh Tian Chua yang tidak berpuas hati dengan keputusan di Parlimen Batu dan sebagainya. Jadi soal apabila berlaku calon PRU, saya rasa itu perkara biasa yang semua parti akan alaminya.

Apa yang penting yang hendak saya maklumkan, isu dalaman BN dan UMNO tentang calon sudah selesai. Saya pun sudah berucap setiap kali perjumpaan.

Saya kata ramai yang layak bertanding tetapi tidak semua kita boleh bagi (jadi calon).  Jadi bagi siapa yang tidak dapat bertanding itu, kita faham mereka pasti kecewa tetapi dua tiga hari selepas itu, mereka ‘come back’ dan balik kepada parti.

Ini berlaku dan kita sudah melihatnya. Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa misalnya, walaupun nampak pada peringkat awal ramai gembar-gemburkan yang dia akan bertanding dengan (atas tiket) Perikatan Nasional (PN) dengan lambang PAS dan sebagainya, akhirnya Tan Sri Annuar buat ‘come back’ (kembali) kepada kita. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga dianggap sebagai seorang yang tidak berpuas hati, tetapi akhirnya Datuk Seri Tajuddin bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak dapat kemenangan.

Daripada segi UMNO, di peringkat awal ada sedikit kekecewaan tetapi akhirnya parti diletakkan di hadapan dan akhirnya semua berbalik kepada parti.

Ada empat calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh parti-parti bertanding pada PRU-15. Mengapa rakyat perlu mengundi YAB Dato’ Sri?

Mereka boleh mengambil contoh apa yang telah saya laksanakan. Gambaran pentadbiran yang saya akan buat selepas PRU telahpun ada gambarannya sewaktu sebelum PRU. Saya mengambil kerajaan ini pada waktu yang sangat sukar. Kes COVID-19 sebanyak 24,000 sehari dengan kematian ratusan setiap hari.

Katil di ICU hampir tidak mencukupi, ekonomi dalam keadaan yang amat teruk kerana sektor ekonomi telah ditutup hampir sepenuhnya. Perebutan kuasa di dalam politik daripada segi kestabilan politik tidak ada sebab dua Perdana Menteri telah bertukar.

Tapi cuba lihat dalam setahun empat bulan ini, apa pencapaian yang telah saya lakukan. Daripada segi COVID, 24,000 (kes), akhirnya kita menjadi salah satu negara terbaik dalam menyelesaikan isu COVID-19 apabila vaksinasi kita menjadi salah satu yang tertinggi daripada peratusan rakyat yang mendapatkan vaksin berbanding dengan negara-negara lain.

Ekonomi memang teruk ketika itu, tetapi Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga kita mencapai 14.2 peratus, menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang terbaik daripada segi pencapaian KDNK. Daripada 5 paratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Daripada segi pengangguran kita dapat mengurangkannya sehingga 3.6 peratus, kalau kurang daripada 4 peratus ia dianggap sebagai guna tenaga kerja penuh, bermakna pengangguran juga kita dapat kurangkan.

Begitu juga dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan asing, perdagangan dan sebagainya. Jadi hari ini, kita buktikan daripada segi pemborongan dan peruncitan meningkat dengan begitu tinggi. Jadi daripada segi ekonomi juga dapat diselesaikan berbanding negara-negara lain.

Apa lagi YAB Dato’ Sri boleh beri kepada pengundi?

Daripada segi kestabilan politik, dalam mengambil keadaan negara yang tidak stabil ketika itu (semasa baru menjadi PM), saya juga berjaya menstabilkan politik negara. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu. Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara.

Undang-undang Anti Lompat Parti yang tidak pernah diluluskan, sudah lama kita cakap soal lompat parti.  Waktu saya, ia diluluskan dengan begitu tenang dan tidak ada bantahan daripada sesiapa pun. Akhirnya politik negara dapat distabilkan.

Berbanding dengan yang lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas 18 bulan juga tumbang.

Walaupun saya 15 bulan (mentadbir negara), tetapi tidak ada dibubarkan oleh sesiapa. Jadi saya nak beritahu, kalau sepanjang tempoh itu saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah beri saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan.

Memasuki minggu kedua kempen, bagaimana YAB Dato’ Sri boleh mengembalikan keyakinan BN untuk PRU kali ini?

Saya percaya daripada segi kempen akan menjadi semakin sengit. Saya bimbang dan takutlah isu peribadi lebih banyak dibangkitkan. Tapi kita di peringkat BN, kita tidak memfokuskan isu-isu peribadi ini, ‘karekter assassination’ ini tidak menjadi “point” untuk kita jadikan sebagai salah satu bahan untuk berkempen.

Kita lebih tumpu kepada ‘produk’ dan apa yang kita boleh tawarkan untuk rakyat. Daripada segi manifesto, kita jauh lebih baik daripada manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada bajet yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas.

Saya selalu menyebutkan bila kita bentang bajet sebagai manifesto kita, ianya bukan janji kosong sebab sudah ‘budgetted for’. Semua yang kita bentangkan itu telah pun mempunyai dana yang mencukupi untuk dilaksanakan, cuma menunggu kepada kelulusan bajet sahaja.

Manifesto kita bukan semata-mata yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita juga berpijak kepada janji nyata kerana semua yang telah dirancang mempunyai kewangan. Strategi kita lebih kepada memberikan tawaran kepada rakyat, menjual produk kita tetapi tidaklah memburukkan produk orang lain.

Saya harap rakyat boleh menerima cara kita daripada bentuk serangan peribadi dan sebagainya.

Ramai orang lama digugurkan. Apa reaksi YAB Dato’ Sri ketika dapat tahu?

Saya sedih dan agak kecewa. Biar saya berterus terang. Mereka adalah rakan-rakan rapat saya. Menteri Kabinet saya, Timbalan Menteri Kabinet, saya memang agak kesal dan sedih, bagaimanapun, lebih penting adalah bukan menangisi pemergian mereka sehingga menyebabkan kita tidak boleh bekerja lagi, kerana yang pentingnya adalah kemenangan parti kita dalam PRU.

Jadi saya pujuk kawan-kawan saya yang terkesan dan saya pujuk mereka bahawa perjalanan mereka masih jauh. Kita, daripada kalah, sekarang kita berjuang untuk mencapai kemenangan dan daripada parti yang kalah pada PRU-14 dan kita bernasib baik dapat menguasai kerajaan ini, bukan melalui pilihan raya, tetapi melalui strategi-strategi yang semua orang pun tahu apa yang telah berlaku. Jadi apa yang penting adalah parti kita menguasai semula kerajaan dan kita nak supaya kita dominan. Kalau kita menangisi sesuatu yang hilang tanpa bergerak untuk ke arah kemenangan, itu tidak memberi apa-apa makna.

Pastinya, rakan-rakan bersetuju, solidariti mesti diperkukuhkan, ketepikan apa yang berlaku, yang penting fokus untuk memenangi PRU. Walaupun saya agak kecewa, sedih kerana tindakan yang berlaku menyebabkan kawan-kawan saya yang “winnable” juga tergugur, itu tidak menjadi halangan kepada kita untuk terus bergerak ke arah kemenangan.

Tema Kestabilan dan Kemakmuran menjadi naratif yang dibawa Barisan Nasional dalam PRU-15 untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan negara. Walaupun BN terbukti berjaya membawa kestabilan dan kemakmuran sepanjang ia berkuasa, namun beberapa isu seperti pemilihan calon dan kes-kes rasuah di kalangan pemimpin UMNO menampakkan ia seolah-olah tidak sesuai lagi memimpin negara. Komen YAB Dato’ Sri?

Daripada segi calon, saya sudah terangkan. Daripada segi pemimpin yang rasuah dan sebagainya, ia tidak melibatkan parti. Ia melibatkan individu. Individu yang ada kes diambil tindakan dan tindakan itu pun dikenakan terhadap individu tersebut. Ianya tidak mengatakan parti UMNO itu rasuah.

Suatu ketika dahulu ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang ditangkap berkaitan dengan kegiatan komunis. Yang ditangkap jadi komunis adalah daripada beberapa pemimpin. Ada tiga orang pemimpin ketika itu. Tetapi UMNO tidak pernah menjadi komunis. Itu bezanya.

Jadi, walaupun ada yang didapati bersalah, perjalanan kes adalah seperti biasa, kalau mereka bersalah mereka dihukum dan saya sendiri berkali-kali menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan mahkamah, tidak campur tangan dalam urusan agensi seperti SPRM dan sebagainya.

Mereka, polis bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan daripada kerajaan bila (pesalah) dihadapkan ke mahkamah dan maka mereka perlu menghadapi mahkamah secara bersendirian dan tidak boleh ‘drag’ (heret) parti bersama dalam isu berkaitan dengan mereka.

Mungkinlah pembangkang akan menjadikan ini sebagai isu, tetapi kita ada tiga juta ahli. Kalau dua atau tiga orang yang terlibat sahaja, tidak bolehlah tiga juta ahli ini dikatakan rasuah juga. Jadi disebabkan itu, saya rasa yang terlibat itu kalau ada, mereka terpaksa melalui proses perundangan secara bersendirian tanpa melibatkan parti.

Mungkin tiada parti yang akan dapat majoriti secukupnya untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Gabungan beberapa parti diperlukan untuk membentuk kerajaan, seperti yang ada sekarang. Apakah kekuatan yang ada pada BN yang membolehkan parti-parti lain menyertai BN untuk membentuk kerajaan, terutamanya parti dari Sabah dan Sarawak?

BN bertanding di 178 kerusi Parlimen, dan seperti yang selalu disebutkan oleh kepimpinan kita di peringkat UMNO dan BN, kita mesti dominan. Kalau kita dapat 80 atau 90 kerusi parlimen, lebih mudah untuk parti-parti lain bersama kita.

Setakat hari ini, kita yakin kita boleh “cross” (melintasi) 112 (kerusi parlimen). Tetapi kalau tidak berlaku seperti itu, tidak ada pilihan untuk kita kecuali membentuk kerajaan campuran. Saya percaya negara-negara yang menuju ke arah negara maju seperti kita, jarang ada satu parti yang menguasai. Biasanya akan berlaku kerajaan campuran. Jadi kita juga bersedia dan jika kita tidak dapat melintasi 112 kerusi, maka wujudkan kerajaan campuran.

Tetapi kalau kita hanya ada 40 kerusi, orang lain 60 kerusi, tidak mungkin lagi kita boleh lead (mengetuai) kerajaan campuran tersebut. Sebab itu, kita hendak lead (mengetuai), sebab sasaran kita kalau boleh melintasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan. Atau tidak boleh sekalipun 80 atau 90 (kerusi), kita lebih dominan berbanding parti lain.

Jadi kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah Perdana Menteri datang daripada kita. Kalau kita dapat 30 (kerusi), orang lain 80, maka orang lainlah akan menjadi Perdana Menteri.

Adakah masih awal bagi YAB Dato’ Sri untuk berkongsi pandangan adakah BN sanggup bergabung jika tidak cukup kerusi?

Masih terlalu awal sebab bagi saya, apa pun keputusan, gabungan mesti diputuskan oleh parti. Individu tidak berhak untuk menentukan dengan siapa kita nak bergabung selepas pilihan raya, tetapi yang pasti kita akan bersama-sama menjemput parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai contoh, dan kita juga bersedia untuk bekerjasama dan akan menjemput parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN daripada Sabah, kerana bagi saya apa pun kita dapat, berapa banyak kerusi sekalipun, even kita dapat 120 (kerusi) ke, 130 ke, kita mesti mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak. Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Banyak naratif yang dimainkan oleh semua pihak, dan naratif dominan adalah persoalan mengenai pencalonan YAB Dato’ Sri selaku Perdana Menteri pasca PRU-15. Banyak yang dimainkan bahawa satu undi untuk calon BN adalah satu undi untuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ada juga kata Ahmad Zahid yang akan jadi PM jika UMNO menang. Apa respon YAB Dato’ Sri?

Sebenarnya isu siapa jadi Perdana Menteri selepas PRU-15 tidak sepatutnya timbul, sebab isu itu sudah jelas dalam UMNO, siapa sebenarnya yang dicadangkan oleh UMNO. Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ataupun sebelum PAU ini, saya sebut Majlis Tertinggi (MT) dulu. MT telah buat keputusan sebulat suara.

MT memutuskan saya sebagai calon Perdana Menteri kalau BN menang PRU-15, saya, calon PM. Perkara ini juga dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN, Jawatankuasa tertinggi BN yang mana semua komponen bersetuju daripada segi cadangan mencalonkan saya sebagai PM.  Autoriti tertinggi dalam parti kita adalah PAU yang sebulat suara memutuskan saya sebagai PM.

Baru-baru ini, dalam mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian, daripada 190 bahagian yang boleh bermesyuarat, 156 bahagian membuat usul mencadangkan saya sebagai calon PM selepas PRU-15. Daripada segi parti, sudah tidak ada isu, sudah tidak ada soal timbul siapa yang lain dan sebagainya kerana semua peringkat parti telah buat keputusan.

Kalau kita sebut perwakilan bahagian, yang mewakili mesyuarat perwakilan bahagian ialah ketua atau wakil cawangan, maknanya sampai ke grassroot (akar umbi) pun bersetuju supaya saya jadi PM. Apabila timbul isu ini, yang kita nampak tujuannya adalah untuk melaga-lagakan saya dengan Presiden UMNO.

Semua presiden komponen BN membuat statement (kenyataan). Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong,  membuat kenyataan bahawa MCA sebulat suara bersetuju dengan saya. Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengatakan MIC sebulat suara bersetuju dengan saya. Datuk Arthur Joseph Kurup yang mewakili parti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga menyatakan yang sama. Dan kepimpinan-kepimpinan UMNO sendiri, Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku Naib Presiden, begitu juga dengan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden, malah yang terakhir adalah Datuk Seri Ahmad Zahid, dua hari lepas di Melaka, menekankan bahawa tidak ada bertukar ganti lagi keputusan tetap Ismail Sabri sebagai calon PM selepas PRU-15 dan semua keputusan yang disebutkan tadi, selagi tidak “direversekan”, ianya akan terus menjadi keputusan yang mesti dipatuhi.

Dan satu lagi naratif/spekulasi yang agak dominan. Kemungkinan akan ada jajaran baharu pasca PRU15, jika tidak cukup kerusi yang dimenangi. Kemungkinan akan menyaksikan sesuatu yang kita tidak jangka akan berlaku iaitu BN mungkin bergabung dengan PH. Apabila kami dapat Top 5 UMNO dan PM, mungkin sesuai untuk ditanyakan kepada YAB Dato’ Sri, adakah itu sebahagian daripada “possible strategy” jika terpaksa selepas PRU15 ini?

Bagi saya tak mungkin berlaku, sebab di dalam PAU, dalam MT, keputusan telah dibuat. NO ANWAR, NO DAP. NO PKR NO DAP. Dan keputusan tersebut adalah keputusan, saya kata PAU tu adalah autoriti tertinggi.

Kalau nak “reverse” (patah balik) keputusan tersebut, bawalah balik ke MT, dan bawa balik ke mesyuarat agung luar biasa untuk putuskan sebaliknya. Selagi tidak ada keputusan seperti itu, maka keputusan yang No Anwar, No DAP itu akan terus kekal. Dan saya percaya tidak ada sesiapa pun di kalangan UMNO, kepimpinan tertinggi mana sekalipun yang boleh mengubah keputusan MT dan boleh ubah keputusan PAU dengan cara bersendirian. Ia mesti diputuskan oleh parti.

PH selalu mainkan propaganda di mana sekiranya BN menang PRU15 ini, beberapa perkara akan jadi, antaranya bebaskan Datuk Seri Najib, gugurkan kes Ahmad Zahid dan ahli UMNO yang terpalit rasuah. Sebaik sahaja kemenangan PH pada PRU lalu, Datuk Seri Anwar dibebaskan dan (kes) Lim Guan Eng juga tidak diambil kira. Mereka juga melantik Ketua SPRM dalam kalangan mereka, dan ambil peguam untuk dijadikan Peguam Negara. Pandangan YAB Dato’ Sri?.

Sebenarnya, kalau kita lihat, orang Melayu kata gajah depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak. Dia nampak kesalahan orang lain tetapi sebenarnya yang melakukan kesalahan paling banyak adalah mereka. Saya setuju.

Kes telahpun berjalan dan saksi telah pun dipanggil tetapi bila mereka ambil alih pemerintahan, oleh kerana Lim Guan Eng, mungkin mereka hendak melantik sebagai menteri kewangan, kes digugurkan dan beberapa lagi, beberapa orang di kalangan mereka termasuk, kalau tidak silap saya R. Sivarasa dan sebagainya, dalam senarai itu banyak, yang mana kes telah digugurkan terhadap mereka.

Inilah beza antara BN dengan mereka. Kalau tengok pemimpin BN, saya sendiri, konsisten dengan pendirian kita, bahawa kita tidak campur dalam urusan mahkamah. Just imagine (cuba bayangkan), pemimpin besar kita Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri, bekas pengerusi BN, bekas presiden UMNO, tetapi apabila berhadapan kes di mahkamah, keputusan kerajaan ialah tidak campur tangan dalam urusan mahkamah. Dan kita kotakan apa yang kita cakap. Inilah beza antara mereka dengan kita. Mereka cakap sahaja, menunjukkan seolah-olah merekalah pejuang hak asasi, merekalah yang menghormati kedaulatan undang-undang, tetapi merekalah yang melanggar segala apa yang mereka janjikan untuk mengangkat martabat sistem perundangan, judiciary (kehakiman) dan sebagainya, tetapi mereka yang melanggar semua perkara ini.

Jadi, inilah kalau rakyat hendak tengok perkara sebenar, perbezaan antara BN dengan PH, inilah jelas bahawa kita yang lebih konsisten dan benar-benar patuh kepada apa yang diperkatakan sedangkan mereka menjadikan itu sebagai bahan politik, mereka sebenarnya lebih teruk daripada apa yang digambarkan oleh mereka tentang parti mereka.

Adakah YAB Dato’ Sri merasakan PH yang dulu itu sama dengan PH yang sekarang. Kalau dulu diterajui Tun Dr Mahathir, kali ini Datuk Seri Anwar. Adakah ia masih mengekalkan PH (dengan) konsep yang sama atau ada perbezaan daripada segi pemimpin?

Bagi saya, sama sahaja. Yang tidak ada, Tun Dr Mahathir sahaja. Yang lain masih ada seperti biasa dan polisi parti sama juga, tidak berubah. Kalau dulu dengan sekarang, kerana ada perubahan sedikit daripada segi kepimpinan. Tetapi asasnya tetap sama. Serupa kitalah, UMNO. Walaupun banyak berlaku perubahan, tetapi prinsip perjuangan kita tetap sama. Sama sahajalah, siapa memerintah pun, siapa jadi pemimpin mereka, sama saja bagi saya, keputusan, tindakan mereka sama.

Katakan jika YAB Dato’ Sri diberi peluang untuk memimpin negara selepas ini, “What can you offer in the next five years”? (Apa yang boleh YAB Dato’ Sri tawarkan dalam tempoh lima tahun akan datang?

Selari dengan manifesto BN. Apa yang saya akan lakukan adalah berdasarkan manifesto BN, dengan slogan Kestabilan dan Kemakmuran. Pertama, kita mesti memastikan negara stabil daripada segi politik dan sebagainya. Seterusnya adalah untuk memakmurkan negara kita.

Yang pasti, kejayaan ekonomi ini diteruskan. Itulah “core” dia. Untuk negara kita, yang penting adalah kestabilan dan juga kemakmuran daripada segi ekonomi. Kejayaan kita mesti diteruskan daripada segi ekonomi. Walaupun kita tahu tahun depan, ketidaktentuan ekonomi agak tinggi dan ianya merupakan satu cabaran besar kepada kita. Tetapi kita akan memastikan supaya kita boleh mendapat, melepasi segala rintangan yang akan kita hadapi tahun depan, kita hendak supaya ekonomi kita terus berkembang, daripada segi itu yang pertama.

Kedua, isu besar yang menjadi perbualan rakyat hari ini adalah kos sara hidup. Ini akan diberikan fokus selepas kita memenangi PRU-15 nanti. Walaupun kita telah mengadakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya, tetapi kita akan menambah baik setiap kelemahan kerana yang paling penting bagi rakyat adalah isu harga barang yang perlu diberi perhatian.

Kita fokus juga pada golongan muda, yang paling penting daripada segi ekonomi mereka, daripada segi peluang mendapatkan pekerjaan. Program Jamin Kerja kita berjaya. Sasaran kita 600,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini. Dan untuk program mengurangkan pengangguran akan diteruskan walaupun kita dah capai 3.6 peratus. Fokus kita adalah daripada segi menjaga kepentingan orang muda, belia, wanita yang perlu diberi perhatian.

Satu lagi ialah daripada segi kerajaan ini sendiri, saya perlukan Kabinet yang kuat, merangkumi pelbagai… OK pastinya saya mesti tidak boleh lari daripada manifesto BN, selari dengan slogan Kestabilan dan Kemakmuran. Jadi yang penting adalah menstabilkan politik kerana inilah syarat kemakmuran. Ini akan dijadikan sebagai satu garis panduan dan yang pasti adalah fokus pada ekonomi.

Kita telah berjaya, seperti saya sebutkan tadi, daripada segi KDNK kita mencapai 14.2 peratus, pengangguran dikurangkan dan akan diteruskan, mungkin ditambah baik semua kekurangan dan fokus kita merangkumi semua, wanita, belia sebagai contoh, belia dari segi kekurangan pekerjaan.

Dan ramai yang bercakap soal Kabinet terlalu besar. Saya akui memang terlalu besar dan pastinya saya akan mengecilkannya. Daripada segi kepelbagaian kepakaran, akan saya jadikannya sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti. Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi daripada segi teknokrat akan turut dimasukkan.

Satu lagi yang akan menjadi fokus adalah daripada segi kos sara hidup yang merupakan isu besar. Ini juga salah satu daripada manifesto BN, iaitu menyelesaikan isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan sebagainya. Ini merupakan satu perkara besar kerana ketidaktentuan daripada segi isu geopolitik di Eropah, Ukraine, Rusia, inilah perkara-perkara yang perlu diberikan fokus.

Selain daripada itu, kita akan memperkasakan semua agensi dan jabatan kerajaan. Banyak rungutan tentang kerenah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan. Kadang kala ini menghindarkan kemasukan pelabur asing ke negara kita. Jika dibandingkan dengan negara lain, setiap kelulusan itu terpaksa menunggu lama (di negara kita). Kerenah birokrasi ini perlu diberikan fokus.

Dasar luar kita juga mesti diubah. Ini kerana kehadiran Malaysia di luar negara dengan dasar luarnya amat dirasai suatu ketika dahulu. Tetapi mungkin akhir-akhir ini agak kurang, mungkin disebabkan masalah COVID-19, kita kurang menyerlah tetapi kita mesti kembalikan keagungan lepas daripada segi peranan kita dengan dasar luar kita. Kita perlu dilihat lebih terlibat dan kehadiran kita dalam memperjuangkan isu besar (perlu) yang dirasai oleh dunia. Perkara ini juga akan diberi perhatian.

Dalam pembasmian kemiskinan. “Its not cliché” (ia bukanlah klise), memang perkara ini perlu diperjuangkan. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita akan hapuskan miskin tegar pada 2025, perkara-perkara (berkaitan) kemiskinan ini mesti diteruskan dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar juga mesti diteruskan.

Begitu juga dengan merapatkan jurang antara wilayah. Sebab itulah saya akan fokus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur, meningkatkan ekonomi dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Seperti yang kita janjikan, layanan terhadap Sabah dan Sarawak adalah sama sahaja seperti di Semenanjung. Malah daripada segi tumpuan kepada pembangunan infra dan sebagainya akan kita utamakan dan memberikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak.

YAB Dato’ Sri memang mengambil berat tentang kebajikan Sabah dan Sarawak. Namun ada suara-suara sumbang yang selalu ingin menidakkan usaha YAB Dato’ Sri dalam meneruskan pembangunan dikedua-dua negeri terutamanya di Sabah. Adakah dakyah sebegini akan membantutkan usaha YAB Dato’ Sri dan BN untuk menang besar dalam PRU nanti?

Sebenarnya Bajet 2023 banyak memberikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya daripada segi bajet untuk pembangunan. Selain daripada itu, kita meneruskan usaha menyiapkan projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo dan sebagainya. Kita juga memberikan keutamaan kali ini kepada infra di luar bandar dan jalan-jalan kampung. Begitu juga dengan sekolah-sekolah daif yang merupakan isu sangat dekat di hati rakyat Sabah dan Sarawak. Klinik-klinik desa yang kedudukannya amat daif sekali. Saya sendiri melihat apabila ditunjukkan video tentang klinik desa, begitu menyedihkan dan perkara ini diberikan fokus.

Kalau hendak menyatakan kita tidak memberi fokus atau tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, itu adalah satu perkara yang tidak benar kerana kita akan terus memberikan perhatian kepada kedua-dua negeri itu bagi  memastikan segala kemudahan dan keperluan disediakan untuk rakyatnya. Ini termasuk daripada segi di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk capaian Internet dan sebagainya, semuanya termasuk dalam perancangan kita. Banyak yang kita rancang untuk Sabah dan Sarawak.

Apakah nasihat YAB Dato’ Sri kepada pengundi, semua rakyat?

Saya harap semua akan keluar mengundi, ini hak yang dijamin oleh Perlembagaan, yang kedua buatlah pertimbangan yang sebaiknya, buat perbandingan parti mana yang dilihat mampu untuk membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang. Lihat sejarah parti mana yang menabur jasa kepada rakyat di negara kita, dengan itu barulah kita buat pilihan tepat sewaktu pilihan raya nanti.

Jadi, pada 19 November nanti, buat pilihan yang bijak demi untuk mewujudkan kerajaan stabil yang seterusnya akan menjamin kemakmuran negara kita.

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat