Kertas Putih Kesihatan: Jamin sistem kesihatan lebih berdaya tahan dan kalis masa depan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Cadangan Kertas Putih Kesihatan bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, agar sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat ketika ini selain sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam tahun-tahun yang mendatang.

Kertas Putih ini bukan sahaja menumpukan kepada transformasi perkhidmatan kesihatan, tetapi juga meneliti aspek-aspek lain yang membawa impak kepada kesihatan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa yang sama, keberkesanan sistem kesihatan negara tidak seharusnya digalas oleh pihak Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pemegang taruh, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga percaya, jika kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha ke arah kebaikan, kita mampu ‘Mencorak Semula Perkhidmatan Kesihatan Untuk
Keluarga Malaysia’,” katanya ketika merasmikan Health Policy Summit 2022 “The Future of Our Healthcare Through The Development of The Health White Paper” di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memberitahu, sejak berlakunya pandemik pada tahun 2020 dan sehingga kini, seramai 4.6 juta rakyat Malaysia telah dijangkiti COVID-19 dan seramai 36 ribu orang telah kehilangan nyawa.

“Hampir tiga suku atau 74 peratus daripada jumlah kematian melibatkan Keluarga Malaysia berusia 60 tahun ke atas, sekali gus menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga mereka kerana kehilangan tempat bergantung.

“Alhamdulillah, hasil usaha Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kadar kematian dan kadar kemasukan wad intensif dapat dibendung.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan turut berjaya melandaikan lengkuk jangkitan wabak, mengelakkan kadar kematian yang lebih tinggi serta mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara.

“Pandemik juga memperlihatkan cabaran serius kesihatan dalam tahun-tahun yang mendatang termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial kita,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

” Kadar prevalen penyakit dan permintaan penjagaan kesihatan pastinya meningkat kerana kos penjagaan kesihatan rakyat berumur 60 tahun ke atas dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.

“Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidapi penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi.

” Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya, dan seterusnya mengundang risiko kematian.

” Contohnya, sebanyak 87 peratus pesakit COVID-19 yang maut merupakan mereka yang mengidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi,” katanya.

Selain itu tambah Perdana Menteri lagi, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka akan meningkat.

“Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang kita jangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada.

” Justeru, pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan.

” Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi harapan dalam usaha kita melakukan mencorakkan semula sistem kesihatan negara,” kata beliau.

Ini adalah harapan Perdana Menteri, sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit; sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mapan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global dan sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya.

” Saya percaya bahawa anda juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan
pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

“Saya juga menyeru Keluarga Malaysia agar membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, pupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala,” ujar Ismail Sabri lagi.

Selain itu katanya, kerajaan turut menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok, melalui strategi Generasi Penamat dan saya berharap Rang Undang-Undang berkenaan dapat dibentangkan di mesyuarat Parlimen yang akan datang.

“Kerajaan akan terus memainkan peranannya untuk memastikan sektor kesihatan negara terus berdaya tahan dan fleksibel supaya kekal dan kalis cabaran pada masa hadapan,” ucapnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat