Anwar Ibrahim Sudah Tidak Relevan?

- Advertisement -

SELEPAS pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September 2020, menuju PRN Melaka 20 November lalu, pengundian di Sarawak 18 Disember ini pula jadi medan ujian buat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Sabah, PKR bertanding bawah payung Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus. Bersaing tujuh kerusi, cuma menang dua. Di Melaka, kalah semua 11 kerusi ditandingi. Dan Sarawak sahajalah gelanggang yang boleh naikkan kembali nama PKR khususnya Anwar sendiri.

Cuma malang menimpa PKR kerana tiga penyandang kerusinya yang menang PRN Sarawak 2016 semua sudah cabut lari.

Baru Bian dan See Chee How masuk Parti Sarawak Bersatu (PSB), sementara Datuk Ali Biju lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Hingga ke hari ini jawatan pengerusi PKR negeri tidak diisi.

Biarpun semasa melawat kawasan DUN Tellian dan DUN Balingian di Mukah, 562 kilometer dari Kuching kelmarin, Anwar optimis kesemua 27 kerusi ditandingi calon partinya berpotensi menang, laluan PKR atas kertas sebenarnya cukup berliku.

Anwar akur, keputusan pilihan raya Sarawak sukar diramal. Nasib sama dialami di Melaka mungkin berulang.

Kepada penganalisis Prof. Dr. Jayum Jawan Empaling, Anwar tidak lagi relevan di Borneo.

“Apa lagi dalam PRN Sarawak kali ini, PKR tiada fokus, Anwar tidak relevan dah. Kalau PKR nak maju lebih jauh, patut tukar sahaja Anwar, gantikan yang lain,” kata profesor ini yang bertugas di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Desakan supaya Anwar berundur bukanlah perkara baharu. Sejak dua tahun kebelakangan ini Anwar memberi tumpuan dalam usaha mendapatkan angka di Dewan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan.

Ogos lalu, Anwar gagal mengumpul sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen pembangkang untuk mengisi kekosongan jawatan perdana menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Anwar dan beberapa pemimpin pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan turut mencetuskan polemik.

Konon diperbualkan di media sosial, Pakatan Harapan tidak seagresif sebelum ini menegur kerajaan untuk semak dan imbang.

Apatah lagi jawatan ketua pembangkang disandang Anwar sudah dinaik taraf menteri.

PKR berdepan detik sukar di Sarawak dengan sekutunya Parti Amanah Negara lemah gemalai. Kini, hanya DAP sandaran untuk Pakatan Harapan terus bertapak di bumi Borneo.

– UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat