Kajian HSR akan diserah kepada Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kertas kajian cadangan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Iskandar Puteri sudah siap dan akan diserahkan kepada Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cadangan untuk menghubungkan HSR ke Bangkok, Thailand di peringkat “sangat awal”.

Ia dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Tetapi, kajian untuk HSR KL-Iskandar Puteri sudah siap. Kami hanya tunggu ia diserahkan kepada Kabinet,” katanya dalam sesi soal jawab yang dikendalikan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar di Invest Malaysia 2021.

Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa berkata, Putrajaya turut menerima beberapa cadangan dan pembentangan mengenai projek MRT3, serta mengakui ada keperluan untuknya.

“Tetapi, model itu perlu dikaji dengan teliti. Bagi kami dalam kerajaan, apa yang penting ialah jumlah wang kerajaan yang perlu disalurkan untuk menjayakan projek itu.”

Mustapa berkata, ada cadangan untuk MRT3 dibina secara “sederhana” berdasarkan keadaan kewangan semasa kerajaan.

Katanya, Putrajaya akan cuba meminimumkannya dengan membantu dari segi pengambilan tanah, pinjaman sokongan dan jaminan kerajaan.

“Dari segi bantuan kerajaan, dalam keadaan sekarang, kami perlu meneliti implikasi kewangan. Tetapi, apabila keadaan ekonomi bertambah baik dan dana kerajaan ditingkatkan, kita akan melihat kembali beberapa projek ini.

“Untuk dua projek ini, MRT3 misalnya, terdapat keperluan. Penggunaan pengangkutan awam kita sekarang sekitar 20 peratus, sangat rendah untuk sebuah negara di tahap pembangunan ini.

“Kami menyasarkan 40 peratus atau 50 peratus dan jika mungkin, lebih daripada itu. Ini juga sangat penting dari seri pembangunan mapan,” katanya.

Mustapa berkata, kementeriannya sedang membangunkan model baharu perkongsian awam swasta (PPP 3.0), yang lebih lestari untuk mengurangkan komitmen kewangan Putrajaya sebaik sahaja sebarang projek selesai.

Dahulu, katanya, kerajaan akan membayar kos penyelenggaraan selepas sesebuah projek siap, selain membantu dalam pengambilan tanah, memberikan pinjaman sokongan dan jaminan kerajaan.

“Tetapi, prinsip umum ialah, pertama, kami fikir untuk menyediakan beberapa bentuk bantuan ‘one-off’ dan kedua, pelaksanaan sesebuah projek tidak akan membawa beban tambahan kepada kerajaan.”

Tetapi, katanya, semua ini masih diusahakan, dengan kertas konsep akan dibentangkan kepada Kabinet sebaik sahaja ia dimuktamadkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat